Singapura menduduki tempat keempat dalam ranking ekosistem syarikat pemula sejagat pada 2025, meningkat satu tangga daripada tempat kelima pada 2024.
Menurut Indeks Ekosistem Syarikat Pemula Sejagat 2025 oleh wadah penyelidikan StartupBlink, Singapura berada di belakang Israel, Britain dan Amerika Syarikat.
Negara ini telah menaiki 12 tangga sejak 2020, menjadikannya antara negara dengan ekosistem syarikat pemula yang paling pesat berkembang di seluruh dunia, menurut indeks tersebut.
Indeks tersebut mengaitkan prestasi kukuh Singapura kepada persekitarannya yang mesra perniagaan, di samping sistem sokongan yang dibangunkan dengan baik bagi syarikat pemula.
Singapura juga mendapat markah tinggi dalam petunjuk seperti kehadiran pelabur, akses kepada peluang bagi syarikat pemula, tumpuan pemain teknologi dan syarikat korporat sejagat, serta tahap kemahiran bakat tempatan, lapor The Straits Times (ST).
Indeks tersebut, yang menilai ekosistem syarikat pemula dari 118 negara, turut menyatakan bahawa Singapura secara strategik meletakkan negara ini sebagai peneraju dalam teknologi mendalam dan industri strategik lain seperti teknologi kewangan, teknologi makanan, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju.
Ia menambah bahawa universiti di negara ini turut terlibat dalam ekosistem syarikat pemula – bukan sahaja dengan melatih tenaga kerja berkelayakan tinggi bagi sektor penyelidikan dan pengembangan (R&D), malah menghubungkan pelbagai program kepada syarikat pemula, serta menggalak keusahawanan di kampus.
Penolong pengarah urusan bagi inovasi di Enterprise Singapore (EnterpriseSG), Cik Emily Liew, berkata bahawa ekosistem syarikat pemula sejagat di Singapura adalah terbuka kepada bakat dan usaha sama.
Selain itu, ekosistem tersebut secara konsisten dapat menyediakan kestabilan, sumber bagi pertumbuhan, serta akses pasaran, walaupun di tengah-tengah pelbagai cabaran dalam persekitaran syarikat pemula di seluruh dunia, tambah beliau.
“Enterprise Singapore akan terus memperkukuh ekosistem ini dan kami mengalu-alu syarikat pemula sejagat yang menyediakan huraian berasaskan sains yang kukuh untuk memanfaatkan Singapura sebagai landasan pelancaran bagi membangun dan mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini dan lebih luas lagi,” katanya.
Kemajuan Singapura dalam ranking tersebut berlaku di tengah-tengah tahun yang memberangsangkan dari segi pembiayaan, selain langkah pemerintah untuk meningkatkan sokongan bagi syarikat di sini.
Menurut satu laporan oleh EnterpriseSG dan firma penyelidikan PitchBook yang dikeluarkan pada April 2025, Singapura meraih bahagian terbesar modal teroka di Asean, memperoleh hampir 60 peratus daripada jumlah urus niaga di rantau itu, iaitu jumlah urus niaga bernilai AS$4.8 bilion ($6.25 bilion) pada 2024.
Pada Oktober 2024, pemerintah mengumumkan bahawa ia akan melabur $440 juta lagi untuk menarik lebih banyak firma modal teroka melabur dalam syarikat pemula teknologi mendalam Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg