Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan feri berpandu ke Kepulauan Selatan antara kegiatan ‘Ayuh Hijau SG’

May 9, 2025 | 6:19 PM
Pemandu pelancong bagi Lawatan Penerokaan Laut, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Cik Grace Christine (bertopi), menunjukkan dan menceritakan kepada para pengunjung mengenai batu karang yang tumbuh di tepi laluan pejalan kaki di Taman Marin Pulau Subar (Sisters’ Island).
Pemandu pelancong bagi Lawatan Penerokaan Laut, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Cik Grace Christine (bertopi), menunjukkan dan menceritakan kepada para pengunjung mengenai batu karang yang tumbuh di tepi laluan pejalan kaki di Taman Marin Pulau Subar (Sisters’ Island). - Foto ST

Walaupun merupakan pelabuhan kontena kedua paling sibuk di dunia selepas Shanghai dengan rekod baru 3.11 bilion tan kasar dalam trafik ketibaan kapal pada 2024, Singapura dan perairannya terus menjadi habitat mesra kepada pelbagai hidupan marin dan pantai.

Negara ini merupakan habitat kepada satu pertiga spesies karang keras di dunia, separuh daripada jumlah spesies yang terdapat di terumbu karang Australia, Terumbu Sawar Besar atau Great Barrier Reef, yang merupakan sistem terumbu karang terbesar di dunia.

Dalam lawatan berpandu eksklusif dan berpendidikan anjuran Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), para pengunjung akan diperkenalkan kepada pelabuhan maritim di tanah besar Singapura dan Kepulauan Selatan.

Lawatan tersebut hanyalah satu daripada lebih 900 kegiatan anjuran Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), dengan kerjasama sekitar 400 rakan kongsi daripada sektor rakyat, awam dan swasta, sempena kempen mesra alam, Ayuh Hijau SG atau ‘Go Green SG’, pada 2025.

Orang ramai berpeluang menyertai pelbagai kegiatan luar yang bakal diadakan.

Di samping itu, pelbagai kegiatan akan turut diadakan di sekolah dan pertubuhan.

Matlamatnya adalah untuk menggalak penduduk di sini menjadikan Singapura sebuah negara hijau, selesa didiami dan berdaya tahan iklim, lapor The Straits Times.

Antara kegiatan yang ditawarkan termasuk bengkel penanaman cendawan oleh Mushroom World Academy, yang diadakan di Vidacity; lawatan ke Institut Penyelidikan Tenaga Suria Singapura (Seris) – ladang suria terapung darat pertama di pulau itu.

Selain itu, bengkel kitar tinggi atau ‘upcycling’ turut diadakan oleh Hospital Kwong Wai Shiu.

Tambahan lagi, Vidacity, yang dahulunya Sekolah Rendah Loyang, telah diubah suai secara adaptif dan kini berfungsi sebagai hab bagi syarikat pemula dalam kemampanan dan teknologi pertanian, serta perusahaan dan inovator sosial dari institusi pengajian tinggi dan masyarakat.

Dilancarkan buat kali pertama sebagai Minggu Tindakan Iklim pada 2020, acara tahunan itu telah diubah suai menjadi kempen selama sebulan dan dijenamakan semula sebagai Ayuh Hijau SG pada 2023, selepas MSE melihat minat kian meningkat mengenai usaha kemampanan dalam kalangan orang ramai.

Edisi ketiga acara tersebut akan dilancarkan Presiden Tharman Shanmugaratnam di Sekolah Rendah Changkat pada 16 Mei, dan akan berlangsung sehingga 29 Jun.

Memandangkan sebahagian tempohnya bertindih dengan cuti sekolah, keluarga yang mempunyai anak boleh menyertai kegiatan tersebut semasa dan di luar penggal persekolahan.

Menurut MSE, dalam kempen Ayuh Hijau SG 2024, lebih 50,000 orang telah menyertai lebih 400 kegiatan yang dianjurkan.

Sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura pada 2025, Ayuh Hijau SG, akan mengadakan pelbagai kegiatan berkaitan kemampanan, yang memaparkan kemajuan negara dalam usaha alam sekitar selama ini, serta hubungan mesra antara generasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg