Sistem amaran bahaya, pam mengawal banjir dan pintu air serta khidmat perubatan kecemasan adalah antara huraian yang dikenal pasti dalam satu laporan baru, sebagai mempunyai potensi pelaburan paling besar dalam tempoh lima tahun akan datang, ketika dunia giat menangani kesan perubahan iklim.
Laporan yang diterbitkan pada 7 Mei oleh perunding pengurusan sejagat, Boston Consulting Group (BCG) dan firma pelaburan Singapura, Temasek, menunjukkan bahawa perbelanjaan untuk huraian isu iklim dan daya tahan diunjurkan meningkat kepada antara AS$0.5 trilion ($0.65 trilion) dengan AS$1.3 trilion setahun menjelang 2030.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), pembiayaan untuk projek huraian isu iklim kini mencecah sekitar AS$76 bilion setahun, dengan pihak pemerintah menyumbang sebahagian besar daripada kos itu, kata laporan tersebut.
Tetapi, keperluan yang semakin meningkat untuk memanfaatkan penyelesaian sedemikian bagi melindungi orang ramai daripada kesan iklim, mencetuskan penciptaan dan pertumbuhan syarikat yang berusaha untuk membangun, menggunakan dan melakarkan inovasi berkaitan iklim di seluruh dunia.
Dokumen setebal 36 muka surat, yang dikeluarkan semasa persidangan kemampanan anjuran Temasek, Ecosperity Week, meningkatkan semangat dalam kalangan masyarakat pejuang iklim sejagat untuk perniagaan bagi penyesuaian iklim.
Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC), pada 2 Mei, mengeluarkan laporan lain yang menunjukkan peluang pelaburan sebanyak AS$9 trilion untuk sektor itu menjelang 2050 – meningkat daripada AS$2 trilion ketika ini.
Pelepasan pemanasan bumi ke atmosfera daripada kegiatan manusia, seperti pembakaran bahan api fosil, menyebabkan perubahan dalam corak cuaca dan mencetuskan kejadian ekstrem, seperti kebakaran hutan, banjir dan peningkatan paras laut.
Penyesuaian mewakili usaha untuk mengurangkan kesan perubahan ini ke atas masyarakat, kehidupan dan mata pencarian.
Ia mungkin termasuk membina tembok laut bagi mengelakkan kenaikan paras laut atau memulakan usaha penghijauan untuk mengurangkan suhu bandar.
Bercakap pada 7 Mei semasa perbincangan panel mengenai pelaburan dalam penyesuaian iklim dan daya tahan di persidangan tersebut, Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi BCG, Encik Daniel Oehling, pengarang utama laporan itu, berkata ia bertujuan menyanggah dua salah tanggapan utama yang dimiliki pelabur tentang sektor penyesuaian iklim.
Beliau menambah bahawa ramai pelabur percaya terdapat banyak kekaburan dan kerumitan mengenai sektor ini, menjadikannya sukar untuk membuat keputusan.
“Terdapat juga salah tanggapan bahawa ini masih merupakan industri peringkat awal dan, oleh itu, syarikat pemula, kecil, tidak boleh meraih untung, mempunyai risiko teknologi tinggi, dan tidak menarik pelabur swasta.
“Tetapi kedua-dua salah tanggapan ini adalah tidak benar,” tambah Encik Oehling.
Terdapat pasaran besar untuk pelaburan sedemikian hari ini dan boleh menghasilkan keuntungan.
Laporan BCG dan Temasek itu mengenal pasti tujuh bidang yang menyaksikan perubahan iklim memberi kesan terbesar pada masa ini – makanan, prasarana, kesihatan, perniagaan dan masyarakat, air, tenaga dan biodiversiti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg