Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura dijangka saksi lebih aliran modal pada 2025 dengan kembalinya Trump

Potensi raih manfaat daripada aliran modal pelabur yang lebih hati-hati pilih tempat pelaburan lebih selamat
Dec 3, 2024 | 7:05 PM
Pasaran saham Singapura menunjukkan prestasi luar biasa pada 2024 dengan pulangan keseluruhan sekitar 30 peratus.
Pasaran saham Singapura menunjukkan prestasi luar biasa pada 2024 dengan pulangan keseluruhan sekitar 30 peratus. - Foto BT

Singapura dijangka menarik lebih banyak aliran modal pada 2025, dengan pasaran sahamnya dijangka terus mengatasi pasaran lain. 

Ini kerana pelabur lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat dengan kembalinya Encik Donald Trump sebagai presiden. 

Oleh itu, mereka memilih untuk melabur di Singapura yang pasarannya dilihat sebagai lebih selamat.

Langkah baru untuk menghidupkan kembali pasaran saham Singapura juga boleh meningkatkan perdagangan dan penilaian sehingga 20 peratus, kata Encik Wilson Ng, penganalisis ekuiti di Morgan Stanley Asia.

Pasaran ekuiti Singapura menunjukkan prestasi yang sangat baik pada 2024, dengan pulangan keseluruhan sekitar 30 peratus.

Ia mampu mengatasi hampir semua pasaran di rantau Asia-Pasifik dan kebanyakan pasaran utama seluruh dunia, lapor The Straits Times (ST).

“(Pada) 2025 mungkin menjadi tahun yang menguntungkan bagi Singapura walaupun pasaran serantau menghadapi cabaran,” tambah Encik Ng.

Perubahan dasar daripada pentadbiran Encik Trump yang baru di Amerika mungkin akan memberi kesan besar kepada pasaran sejagat, termasuk Singapura, kata beliau.

“Memandangkan prospek yang lebih mencabar bagi pasaran saham Asia-Pasifik tahun depan (2025), ditambah dengan ketidaktentuan dasar Amerika, Singapura berpotensi meraih manfaat daripada aliran modal (daripada para pelabur) yang lebih berhati-hati, memilih tempat (pelaburan) yang lebih selamat,” jelas Encik Ng.

Apabila pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati, mereka akan mengambil langkah mengehadkan risiko dengan memilih produk pelaburan yang stabil atau pasaran yang telah terbukti kukuh sepanjang tahun.

Pakar strategi utama Asia-Pasifik Goldman Sachs, Encik Timothy Moe, mempunyai pandangan positif terhadap Singapura kerana pasarannya yang lebih ‘defensif’ dan pulangan dividen yang kukuh.

Beliau optimis terhadap bank tempatan yang menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah nilai Indeks Straits Times (STI).

Pada suku ketiga 2024, DBS, UOB, dan OCBC mencatat pertumbuhan keuntungan bersih masing-masing sebanyak 15 peratus, 16 peratus, dan 9 peratus, serta menawarkan pulangan dividen menarik antara 5 dengan 6 peratus.

Ketua Penyelidikan Asean Macquarie Capital, Encik Jayden Vantarakis, menyasarkan bahawa paras STI akan mencapai 4,000 pada 2025, peningkatan daripada 3,751 ketika ini.

Beliau menekankan kedudukan modal kukuh ketiga-tiga bank tersebut dan menjangka DBS serta UOB akan mengembalikan lebihan modal kepada pemegang saham, dan langkah itu dijangka diikuti OCBC.

Goldman Sachs meramalkan pertumbuhan ekonomi Singapura akan merosot kepada 2.1 peratus pada 2025 berbanding 3 peratus pada 2024, disebabkan oleh kelembapan perdagangan sejagat dan risiko pada kadar tarif.

Tarif baru Amerika di bawah pentadbiran Encik Trump dijangka menjejas pertumbuhan ekonomi Asean-5 – merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand – antara 0.3 dengan 0.8 peratus, menurut Goldman Sachs.

Dasar tarif yang lebih agresif dari Amerika dijangkakan mengurangi pertumbuhan Asean-5 sebanyak 0.7 peratus lagi, dengan Singapura menerima kesan terbesar berikutan ketergantungannya terhadap perdagangan sejagat, tambahnya.

Walaupun begitu, Morgan Stanley percaya Singapura berada dalam kedudukan yang agak baik di rantau ini, memandangkan defisit perdagangannya dengan Amerika dan pendedahan pendapatan korporat yang rendah kepada Amerika Utara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg