Syarikat Singapura kekal optimistik sedikit mengenai prospek perniagaan dalam tempoh enam bulan akan datang, sedang mereka keluar daripada satu tempoh penguncupan jualan selama hampir dua tahun pada suku ketiga 2024, menurut satu tinjauan suku tahunan.
Baki bersih untuk prospek perniagaan adalah 7 peratus – turun sebanyak satu mata peratusan “yang sangat kecil” daripada suku sebelumnya, menurut Tinjauan Iklim Perniagaan Business Times-Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura terbaru.
Baki bersih ialah perbezaan antara bahagian syarikat yang mengalami peningkatan dengan mereka yang mengalami penurunan dalam satu penunjuk, berbanding tempoh tahun sebelumnya. Baki bersih positif menunjukkan pengembangan.
Buat kali pertama dalam dua tahun, baki bersih jualan adalah positif – menunjukkan pengembangan. Ia adalah 6 peratus – naik kukuh lapan mata daripada suku sebelumnya, lapor The Business Times (BT).
Ini menamatkan fasa penguncupan penjualan sepanjang tujuh suku tahunan – fasa kelima sebegitu sejak tinjauan itu bermula pada 1996.
Bagaimanapun, perunding kaji selidik, Cik Chow Kit Boey, menyatakan bahawa baki bersih adalah lebih rendah untuk jualan keseluruhan berbanding jualan di luar negara, membayangkan bahawa jualan domestik lebih teruk daripada jualan di luar negara.
Pakar ekonomi berkata ini selaras dengan pemulihan ekonomi yang diterajui eksport Singapura yang turut dicerminkan dalam data rasmi.
Ketua ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, berkata peningkatan dalam perusahaan elektronik global mungkin satu faktor penyumbang, manakala langkah rangsangan di China juga boleh membantu menstabilkan ekonomi China.
Pelanggan luar negara juga mungkin giat melakukan import lebih awal sebelum ketegangan perdagangan yang dijangka berlaku di bawah presiden Amerika Syarikat yang akan datang, Encik Donald Trump, tambahnya.
Oleh itu, “tidak mengejutkan bahawa jualan luar negara mungkin telah mengatasi jualan domestik, yang mungkin dihalang oleh keadaan pasaran tenaga kerja tempatan yang beransur-ansur reda”, katanya.
Secara berasingan, untuk pesanan dan perniagaan baru, penguncupan berkurangan sebanyak tiga mata peratusan lagi kepada -6 peratus pada suku ketiga, menandakan peningkatan bulan keempat berturut-turut.
Namun prestasi tidak bertambah baik dari segi keuntungan, yang kekal dalam penguncupan.
Baki bersih keuntungan tidak berubah pada -10 peratus pada suku ketiga, walaupun telah susut selama tiga suku tahunan berturut-turut sebelum ini.
Ahli ekonomi memberitahu BT bahawa penguncupan berterusan boleh mencerminkan peningkatan kos perniagaan.
Mereka juga tidak mengharapkan keadaan bertambah baik.
Ahli ekonomi Maybank, Encik Brian Lee, berkata: “Firma perlu bergelut dengan lebih banyak kenaikan kos yang disebabkan oleh dasar pada bulan-bulan mendatang, terutama dari segi tenaga manusia, contohnya dengan kenaikan gaji dan kadar levi yang layak bagi S-Pass.”
Mulai 1 September 2025, gaji kelayakan minimum untuk permohonan S-Pass baru akan meningkat kepada sekurang-kurangnya $3,300, manakala kadar levi Tahap 1 juga akan dinaikkan kepada $650, daripada $550.
Gaji kelayakan minimum untuk Pas Pekerjaan juga dijangka meningkat dari 1 Januari, kepada $5,600, daripada $5,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg