Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Indonesia perdalam kerjasama dalam taman industri rendah karbon, luas akses pasaran

Jun 15, 2025 | 7:44 PM
ekonomi, S’pura-Indonesia perdalam kerjasama bina taman industri, Gan Kim Yong
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (kanan), dan Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto, menyaksikan pemeteraian dua aturan komersial dalam kerjasama ekonomi antara Singapura dengan Indonesia pada 15 Jun. - Foto MTI

Singapura dan Indonesia memeterai dua aturan komersial dalam kerjasama ekonomi semasa satu mesyuarat yang diadakan di Singapura pada 15 Jun, di tengah-tengah dinamik perdagangan antarabangsa yang sedang berubah.

Yang pertama merupakan surat pengesahan yang ditandatangani antara Sembcorp Development Ltd Singapura dengan PT Batamraya Sukses Perkasa Indonesia mengenai komitmen mereka untuk bekerjasama dalam taman perindustrian rendah karbon di wilayah Batam, Bintan dan Karimun (BBK).

Yang kedua pula ialah satu Memorandum Persefahaman (MOU), iaitu kerjasama antara perniagaan dengan tumpuan pada usaha memperluaskan akses pasaran untuk syarikat melalui kerjasama dipertingkat antara ekosistem semikonduktor dan elektronik Singapura dan Indonesia.

Ia ditandatangani antara Persatuan Industri Semikonduktor Singapura (SSIA) dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Indonesia (Kadin).

Dua aturan komersial itu ditandatangani semasa Mesyuarat Peringkat Menteri Enam Kumpulan Kerja Ekonomi Dua Hala Singapura-Indonesia (6WG MM) yang ke-15 di Singapura pada 15 Jun, menurut satu kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Ia disaksikan oleh dua pengerusi bersama 6WG MM – Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia, Encik Airlangga Hartarto.

Mesyuarat tersebut merupakan platform ekonomi utama antara Singapura dengan Indonesia untuk memajukan kerjasama dalam enam bidang: wilayah BBK dan Zon Ekonomi Khas lain; pelaburan; tenaga manusia; pengangkutan; perniagaan tani; dan pelancongan.

MTI dalam kenyataannya berkata kedua-dua menteri itu telah mengesahkan komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Singapura dengan Indonesia di tengah-tengah persekitaran global yang lebih rumit dan tidak menentu.

“Mereka membincangkan usaha memperdalami kerjasama antara perniagaan dan peluang pelaburan dalam sektor yang penting kepada kedua-dua ekonomi kita, termasuk prasarana perindustrian, penjagaan kesihatan dan ekonomi hijau,” kata kementerian itu.

Selain itu, Encik Gan dan Encik Airlangga turut menekankan pentingnya usaha mempertingkat persekitaran perniagaan dan kawal selia demi menarik pelaburan, selain membantu rakyat dan perniagaan bekerjasama dan merebut peluang baru di kedua-dua negara.

Mereka mengalu-alukan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur di wilayah BBK, serta mengiktiraf kemajuan baik yang dilihat dalam pembangunan modal insan.

MTI menambah bahawa dua menteri itu turut membincangkan inisiatif dalam sektor perniagaan tani, termasuk dalam memajukan kerjasama teknologi tani dan mewujudkan peluang perdagangan baru untuk pengimport Indonesia dan pengeksport Singapura.

“Para menteri juga mengalu-alukan peningkatan dalam ketersambungan udara dan mengesahkan komitmen untuk memperdalami ketersambungan perniagaan antara Singapura dengan Indonesia, yang akan merangsang aliran perdagangan, pelaburan dan manusia.

“Di samping itu, para menteri mengalu-alukan kemajuan dalam kerjasama berterusan antara kedua-dua negara dalam perdagangan elektrik rentas sempadan serta penangkapan dan penyimpanan karbon, yang akan menyokong usaha kedua-dua negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata MTI.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg