Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo adakan lawatan negara pertama ke S’pura pada 16 Jun

Jun 15, 2025 | 9:00 AM
Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia, Presiden  Prabowo Subianto, PM Wong
Gambar menunjukkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bertemu semasa Sidang Kemuncak Asean Ke-46 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia dari 26 hingga 27 Mei. Encik Prabowo akan melakukan lawatan negara pertama beliau ke Singapura, di samping mempengerusikan bersama Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia dengan Encik Wong pada 16 Jun. - Foto ZAOBAO

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, akan melakukan lawatan negara pertama beliau ke Singapura, di samping mempengerusikan Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia bersama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 16 Jun.

Kedatangan beliau ke Singapura akan disambut dengan penuh istiadat di Parlimen, di mana beliau akan bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada 15 Jun.

Tuan Presiden akan menganjurkan jamuan negara sebagai penghormatan kepada Encik Prabowo.

Pertemuan Encik Prabowo bersama Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dalam Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia kali ini merupakan yang pertama bagi kedua-dua pemimpin negara itu dalam jawatan semasa masing-masing.

Rahat Pemimpin Singapura-Indonesia yang terakhir pada April 2024, yang diadakan di Bogor, Indonesia, menyaksikan pertemuan lapan mata antara Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, dan Presiden Indonesia semasa itu, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, serta Encik Wong yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, manakala Encik Prabowo bakal Presiden Indonesia.

“Sebagai platform peringkat tertinggi antara kedua-dua negara, Rahat Pemimpin tahunan itu adalah bukti kepada hubungan dua hala yang sangat baik dan hubungan yang kukuh antara pemimpin kita,” kata MFA.

Semasa rahat itu, Encik Wong dan Encik Prabowo akan menyemak kerjasama kukuh dan substantif antara Singapura dengan Indonesia, serta melakarkan hala tuju langkah seterusnya.

Kedua-dua negara itu telah menjalin persahabatan lama dan bekerjasama rapat dalam bidang utama seperti pertahanan, ekonomi hijau dan ketersambungan, kata MFA lagi.

Dalam hubungan pertahanan umpamanya, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengekalkan hubungan kukuh bersama Kementerian Pertahanan Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Kerjasama mereka termasuk dalam usaha menangani pengganasan serantau, keselamatan maritim dan pelaksanaan latihan dan operasi dua hala dan berbilang hala.

Perjanjian Kerjasama Pertahanan, yang merupakan sebahagian daripada Perjanjian Rangka Kerja Diperluaskan (EFA), juga terus menyediakan platform bagi dialog dan kerjasama.

Singapura dan Indonesia juga bekerjasama dalam ekonomi hijau, dengan dua negara itu memeterai tiga perjanjian utama untuk mengukuhkan kerjasama dalam tenaga bersih dan pembangunan mampan pada 13 Jun di Jakarta.

Sejak 2014, Singapura telah mengekalkan kedudukannya sebagai sumber pelaburan asing tertinggi Indonesia, dengan pelaburan dari Singapura berjumlah AS$20.1 bilion ($25.75 bilion) pada 2024.

Indonesia pula secara konsisten merupakan antara sumber pelancong tertinggi ke Singapura, yang mencatat 2.49 juta kedatangan dari Indonesia pada 2024.

Antara lain, Singapura dan Indonesia juga menjalankan projek ekonomi utama bersama, termasuk Zon Perdagangan Bebas Batam-Bintan-Karimun, Taman Perindustrian Kendal dan Taman Digital Nongsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg