Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Indonesia meterai tiga perjanjian dalami kerjasama tenaga hijau

See Leng: MOU tawar peluang dua negara saling bawa manfaat di tengah cabaran iklim sejagat, ekonomi tidak menentu
Jun 13, 2025 | 4:57 PM
MOU Spura-Indonesia, tenaga hijau, Tan See Leng
Tiga Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Singapura dan Indonesia memperdalami kerjasama dalam tenaga hijau telah dimeterai di Jakarta, Indonesia, pada 13 Jun oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains, Teknologi, Dr Tan See Leng (kiri), dan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Dr Bahlil Lahadalia. - Foto FACEBOOK TAN SEE LENG

Singapura dan Indonesia memeterai tiga perjanjian utama untuk mengukuhkan kerjasama dalam tenaga bersih dan pembangunan mampan, dalam “perkongsian saling memberi manfaat kepada satu sama lain”, yang menandakan kejayaan penting dalam kerjasama hijau dua negara itu.

Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut ditandatangani pada 13 Jun di Jakarta, Indonesia, oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, dan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Dr Bahlil Lahadalia.

Menyifatkan perjanjian itu sebagai satu langkah ke arah visi bersama kedua-dua negara itu untuk masa depan rendah karbon dan berdaya tahan, Dr Tan berkata MOU tersebut saling memberi manfaat kepada Singapura dan Indonesia.

“Majlis pemeteraian ini bukan sekadar simbolik. Ia adalah cerminan sebenar keazaman bersama kita berdua untuk menterjemah idea-idea kita kepada tindakan dan melakukannya melalui kerjasama rapat dan kepercayaan bersama,” kata beliau ketika berucap di majlis itu.

Perjanjian tersebut, tambah Dr Tan, “menawarkan peluang yang saling memberi manfaat kepada satu sama lain” di tengah-tengah cabaran iklim sejagat dan ketidaktentuan ekonomi.

Ia bertujuan mengembangkan dan menyahkarbonkan ekonomi kedua-dua negara dengan cara mampan, memacu inovasi dan membuka bidang pertumbuhan baru.

“Ini adalah satu langkah konkrit untuk mengukuhkan kerjasama jangka panjang,” kata beliau.

Salah satu perjanjian tersebut menyasarkan perdagangan elektrik rentas sempadan (Cbet).

Ini adalah berdasarkan rangka kerja kerjasama tenaga yang lebih awal dan bertujuan membangunkan dasar yang diperlukan, mekanisme kawal selia dan terma komersial dalam tempoh setahun.

Dr Tan menyatakan bahawa projek di bawah inisiatif itu boleh menarik pelaburan modal yang besar, meningkatkan pendapatan pertukaran asing, dan meningkatkan pendapatan cukai tahunan.

Beliau menambah bahawa eksport elektrik juga akan mempercepat pertumbuhan sektor pengilangan tenaga boleh diperbaharui di Indonesia dan meningkatkan rantaian bekalannya yang lebih luas, mewujudkan pekerjaan dan menarik pelaburan jangka panjang.

“Bersama-sama, Singapura dan Indonesia, kita juga meletakkan asas bagi Grid Kuasa Asean yang lebih bersambung dan masa depan tenaga yang lebih selamat dan mampan,” kata beliau, merujuk kepada inisiatif menghubungkan sistem tenaga di seluruh Asia Tenggara.

Satu lagi perjanjian pula memberi tumpuan kepada kerjasama dalam penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

Di bawah perjanjian itu, satu kumpulan kerja bersama akan dibentuk untuk meneroka perjanjian dua hala yang terjalin secara rasmi untuk memudahkan pelaksanaan projek.

Dr Tan berkata CCS diperlukan “bagi penyahkarbonan kegiatan ekonomi yang sukar dihentikan” di kedua-dua negara, dan langkah sedemikian boleh mewujudkan peluang perniagaan baru yang besar untuk Indonesia sambil mencipta pekerjaan dan menarik pelaburan.

“Ia bukan teknologi baru, tetapi jika Indonesia dan Singapura boleh berjaya menjadikan CCS rentas sempadan ini satu realiti, kita akan menjadi antara negara pertama di Asia yang berbuat demikian,” jelas beliau.

Menurut Dr Tan, Asia Tenggara berpotensi menyimpan sehingga 133 gigatonne karbon dioksida secara kekal.

Projek 2 juta tan setahun Singapura boleh berfungsi sebagai “pencari laluan” untuk Indonesia, yang bercita-cita menjadi hab CCS serantau.

Perjanjian ketiga pula menyokong pembangunan zon perindustrian mampan (SIZ) di wilayah Bintan, Batam dan Karimun – dikenali secara kolektif sebagai BBK – yang berhampiran Singapura.

Satu pasukan petugas bersama akan mengenal pasti industri yang berpotensi untuk dibangunkan di kawasan itu.

“Ini berdasarkan kerjasama bertahun-tahun yang kita lakukan, antara Singapura dengan Indonesia, bagi menarik pelaburan ke dalam BBK,” kata Dr Tan.

Beliau menambah bahawa komitmen baru terhadap projek kerjasama tenaga dan karbon dalam BBK akan membantu menjadi pemangkin bagi lebih banyak kegiatan perindustrian di Indonesia.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata perjanjian SIZ menekankan kepentingan kedua-dua pemerintah dalam meletakkan kejelasan peraturan untuk usaha niaga tenaga boleh diperbaharui, yang seterusnya boleh menarik pelaburan hijau ke Indonesia.

Butiran pelaksanaan selanjutnya dan hasil yang dijangkakan akan diumumkan kemudian, tambah kementerian itu.

Menekankan kepentingan kerjasama serantau, Dr Tan berkata:

“Seperti kata pepatah, jika kita mahu pergi jauh, kita mesti pergi bersama-sama.

“Singapura kekal komited untuk bekerjasama dengan Indonesia dan rakan kongsi lain untuk menyokong perjalanan satu sama lain ke arah sifar bersih.

“Marilah kita terus bekerjasama dengan niat baik, untuk membangunkan peluang baru untuk inovasi, kerjasama dan perkongsian.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg