VIENNA: Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan empat universiti luar negara telah bekerjasama menjalankan kajian bersama mengenai bagaimana penduduk bandar mengharungi dan membentuk persekitaran tempat tinggal mereka.
Selain SMU, anggota lain dalam ‘Global Alliance on Sustainable Urban Societies’ atau Perikatan Sejagat Mengenai Masyarakat Bandar Mapan ialah Universiti Boston (Amerika Syarikat), London School of Economics and Political Science (Britain), Universiti Melbourne (Australia), dan Universiti Toronto (Canada), lapor The Straits Times (ST).
Kerjasama itu diumumkan pada 2 Julai pada sidang ‘SMU City Dialogues’ (Dialog Bandar SMU), di Vienna, Austria, yang mengumpulkan ahli akademik, pegawai pemerintah dan korporat dari seluruh dunia untuk membincangkan bagaimana sesebuah bandar boleh mengatasi pelbagai cabaran seperti perubahan iklim dan krisis kewangan.
“Motivasi utama gabungan ini ialah meletakkan manusia sebagai keutamaan, kerana mereka adalah pemacu bandar dan kemampanan,” kata Pengarah Institut Bandar SMU, Profesor Orlando Woods.
Institut itu bertujuan menangani cabaran perbandaran yang dihadapi Singapura dan bandar-bandar utama Asia.
“Banyak kajian bandar hanya tertumpu kepada persekitaran binaan seperti membina bangunan lebih baik, menyempurnakan sistem digital untuk bandar pintar dan kecerdasan buatan (AI)... tetapi ia tidak berinteraksi dengan orang yang menggunakan sistem ini,” kata Profesor Woods.
Gabungan itu mahu mengalihkan tumpuan kepada penduduk bandar dan cara mereka bergerak serta mengubah ruang bandar.
Lima universiti itu berkata kerjasama tersebut mengiktiraf peranan penting penduduk sebagai penggerak utama dalam membina masyarakat bandar yang mampan.
Projek penyelidikan khusus masih belum diputuskan, namun satu cadangan melibatkan kajian kesan haba melampau terhadap kesihatan mental penduduk bandar.
Kesan haba pada tubuh manusia, seperti ruam dan angin ahmar akibat haba, sudah banyak dikaji, tetapi kesan suhu meningkat terhadap kesihatan mental kurang diperhatikan, kata Profesor Woods.
Satu kajian Universiti Boston pada 2022 mendapati pada musim panas yang sangat berbahang di Amerika, risiko pesakit yang dilanda kecemasan meningkat disebabkan masalah penggunaan bahan terlarang, kebimbangan, tekanan dan gangguan emosi.
Kajian yang dicadangkan mungkin melibatkan peserta dari beberapa negara termasuk Singapura, Amerika dan Australia, yang merakam kesan cuaca panas ke atas diri mereka, tambah Profesor Woods.
Selain menjalankan penyelidikan bersama, gabungan itu juga akan mengadakan bengkel, pertukaran pelajar, dan perkongsian data.
Profesor Loretta Lees, pengarah Inisiatif Pada Bandar, Universiti Boston, berkata kekuatan gabungan itu ialah kerjasama dengan pakar perbandaran yang sehaluan untuk memahami cara bandar berlainan menangani cabaran.
Profesor Woods berkata: “Ia satu rangka kerja formal untuk kerjasama lebih luas, andainya terdapat peluang membina pasukan penyelidikan yang lebih besar.”
Pada 2022, SMU dan Universiti Toronto telah membandingkan cabaran yang dihadapi pelajar dari India di kededua negara dan rasa keterikatan mereka sebagai pelajar migran.
Tidak lama lagi, kedua-dua universiti tersebut akan memulakan kajian berkaitan trend pengangkutan yang sedang berkembang.
Sidang ‘SMU City Dialogues’ selama sehari itu adalah acara kerjasama dengan ‘World Cities Summit Mayors Forum’ (Forum Datuk Bandar, Sidang Puncak Bandar Dunia) di Vienna pada 3 dan 4 Julai, dan para pemimpin bandar berkumpul untuk berbincang cabaran utama yang dihadapi bandar masing-masing dan huraian yang dapat dilaksanakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg