Singapura terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kekayaan utama Asia Pasifik, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) di rantau ini dijangka mencapai AS$34.5 trilion ($44.6 trillion) menjelang 2030.

Dalam laporannya bertajuk Asset and Wealth Management Revolution: Asia Pacific 2026 (Revolusi Pengurusan Aset dan Kekayaan: Asia Pasifik 2026), syarikat audit dan perundingan antarabangsa, PwC, menjangkakan AUM Asia Pasifik berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) 6.8 peratus, mengatasi Amerika Utara (6.2 peratus) dan Eropah (5.6 peratus).

Jumlah aset pelanggan pula diramal meningkat daripada AS$107.2 trilion pada 2024 kepada AS$154.3 trilion menjelang 2030.

Sebagai salah satu daripada dua hab pelaburan antarabangsa terbesar di Asia Pasifik bersama Hong Kong, Singapura mengurus AUM bernilai AS$4.6 trilion dan menempatkan 8 peratus aset dana kekayaan negara sedunia, menjadikannya pangkalan pilihan individu bernilai tinggi (HNW).

Aset HNW Asia Pasifik dijangka mencecah AS$52.4 trilion menjelang 2030 dengan CAGR 6.9 peratus, menyokong aliran dana berterusan ke Singapura.

Pasaran swasta turut berkembang pesat, dengan sumbangannya kepada hasil industri pengurusan aset dan kekayaan Asia Pasifik meningkat daripada 20.3 peratus pada 2012 kepada 55.4 peratus pada 2024, dan dijangka mencecah 59.5 peratus atau AS$99.8 bilion menjelang 2030.

Namun, pengurus aset dan kekayaan Asia Pasifik kini mengurus kurang daripada satu perempat aset pelanggan serantau, berbanding hampir 40 peratus di Eropah dan hampir 60 peratus di Amerika Utara, menyerlahkan peluang pasaran yang besar.

Dalam bidang aset digital, Singapura muncul sebagai pusat pembangunan struktur dana bertoken.

Mewakilkan aset atau tokenisasi ialah proses mewakilkan aset sebenar dan fizikal seperti bon dan ekuiti secara digital pada rantaian blok (blockchain).

Singapura berusaha membawa tokenisasi daripada peringkat perintis kepada pelaksanaan komersial melalui ‘Project Guardian’ yang diterajui Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Usaha melibatkan pembuat dasar dan industri kewangan itu bertujuan meningkatkan kecairan serta kecekapan pasaran kewangan melalui tokenisasi aset, dengan penyertaan lebih 40 institusi daripada tujuh bidang kuasa.

Ia turut disokong oleh ‘Guardian Wholesale Network’, rangka kerja mata wang digital stabil Singapura dan percubaan penerbitan bil MAS, aset digital bertoken menggunakan mata wang digital bank pusat.

“Peranan Singapura dalam pengurusan aset dan kekayaan Asia Pasifik dibentuk oleh pelbagai kelebihan struktur,” kata Encik Paul Pak, Ketua Pengurusan Aset dan Kekayaan Asia Pasifik dan Singapura di PwC Singapore.

Beliau berkata kelebihan tersebut termasuk asas dana kekayaan negara yang kukuh, rangka kerja kawal selia maju, pasaran modal yang semakin mendalam serta ekosistem percukaian dan penstrukturan dana yang menyokong modal rentas sempadan.

“Pertumbuhan Asia-Pasifik amat jelas. Persoalan persaingan kini ialah firma mana yang mempunyai kejelasan strategik, model operasi dan disiplin modal untuk menjadikan pertumbuhan itu suatu kelebihan yang dapat bertahan, serta dari platform mana mereka akan bersaing.

“Bagi semakin ramai pengurus serantau dan sedunia, wadah itu ialah Singapura,” katanya.