Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura kumpul dana $655j biayai projek hijau di Asia Tenggara, Asia Selatan

Projek termasuk loji tenaga, simpanan tenaga, kenderaan elektrik serta pengurusan air dan kumbahan
Sep 8, 2025 | 4:01 PM
hijau, pembiayaan, Asia Tenggara, projek
Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (FAST-P) ditubuhkan untuk mengumpul modal daripada sektor awam, swasta dan dermawan bagi membantu membiayai proses peralihan hijau di Asia. - Foto BT

Sebanyak AS$510 juta ($655.7 juta) pembiayaan gabungan beberapa negara telah dikumpulkan untuk membiayai projek prasarana hijau dan mampan di Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Projek prasarana itu termasuk loji tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga, kenderaan elektrik, pengangkutan, serta pengurusan air dan kumbahan, serta sektor lain yang penting bagi peralihan rantau ini kepada tenaga rendah karbon.

Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

MAS merupakan agensi pemerintah yang mengendalikan inisiatif negara Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (FAST-P) yang dilancarkan pada 2023, lapor The Straits Times (ST).

FAST-P ditubuhkan untuk mengumpul modal daripada sektor awam, swasta dan dermawan bagi membantu membiayai proses peralihan hijau di Asia dengan sasaran mengumpul hingga AS$5 bilion daripada sumber-sumber itu.

Tidak mudah mendapat sokongan daripada pemberi pinjaman komersial bagi kebanyakan projek sedemikian kerana pelabur kurang berpengalaman dengan jenis pelaburan tersebut.

Dalam pembiayaan gabungan, modal daripada sumber awam atau dermawan biasanya digunakan sebagai pemangkin untuk merangsang sektor swasta – yang memegang sebahagian besar kekayaan dunia – melabur dalam pembangunan mampan.

Modal terkumpul sebanyak AS$510 juta itu akan membiayai salah satu daripada tiga teras FAST-P iaitu yang memberi tumpuan kepada pelaburan hijau.

Daya usaha yang dikenali sebagai Kerjasama Pelaburan Hijau itu merupakan dana pertama daripada tiga dana.

Dua lagi teras FAST-P ialah mempercepatkan proses peralihan tenaga dan transformasi industri, yang akan memberi tumpuan pada sektor dengan pelepasan karbon tinggi seperti simen dan keluli serta teknologi pengurangan karbon.

“Kerjasama Pelaburan Hijau akan menyediakan pembiayaan hutang untuk prasarana mampan berkaitan iklim di Asia Tenggara dan Asia Selatan, yang sukar mendapat pembiayaan daripada bank,” kata MAS.

Pembiayaan hutang ialah kaedah bagi sesebuah perniagaan untuk mengumpul modal dengan meminjam wang daripada pemberi pinjaman luaran, melalui instrumen seperti bon dan pinjaman.

Modal AS$510 juta itu diperoleh daripada institusi swasta, awam dan dermawan, sama ada di peringkat sejagat atau serantau, termasuk Temasek dan HSBC, serta pemerintah Australia dan Eropah.

Pelabur dan pembiaya lain termasuk International Finance Corporation, Dutch Entrepreneurial Development Bank, British International Investment, Bank of the Philippine Islands, dan Allied Climate Partners – sebuah pertubuhan pelaburan dermawan.

Pemerintah Australia menyokong inisiatif itu melalui Export Finance Australia, yang menyediakan pembiayaan untuk perdagangan eksport dan projek prasarana di luar negara.

Suruhanjaya Eropah pula menyokong FAST-P melalui program Global Gateway, yang bertujuan merapatkan jurang pelaburan di peringkat sejagat.

Platform pembiayaan hutang Pentagreen Capital pula mengurus teras pelaburan hijau di dalam FAST-P.

Ketiga-tiga teras FAST-P dirangka untuk menangani jurang pembiayaan iklim yang mendesak di rantau ini dengan menggunakan modal gabungan dan bertingkat bagi merangsang pembiayaan berskala besar, tambah MAS.

“Dengan mengurangkan risiko pelaburan prasarana di Asia Tenggara dan Asia Selatan bagi pelabur dan pembiaya antarabangsa, FAST-P menyasarkan untuk membuka aliran modal bagi prasarana inovatif dan sukar dibiayai oleh bank.

“Projek-projek sebegini lazimnya sukar menarik pembiayaan kerana risiko yang dikaitkan, dengan jurang yang lebih ketara pada fasa pembangunan dan pembinaan projek,” jelas MAS.

Pada akhir 2024, pemerintah Singapura berikrar menyumbang hingga AS$500 juta kepada FAST-P sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon di Asia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg