Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembiayaan dermawan dapat bantu tangani perubahan iklim

Dana di rantau Asia masih tidak cukup kurangi pelepasan, bina ketahanan
May 5, 2025 | 7:27 PM
Berucap di Sidang Puncak Kedermawanan Asia pada 5 Mei, Duta Tindakan Iklim Singapura, Encik Ravi Menon, berkata rantau Asia masih kekurangan dana dalam mengurangkan pelepasan dan membina daya tahan.
Berucap di Sidang Puncak Kedermawanan Asia pada 5 Mei, Duta Tindakan Iklim Singapura, Encik Ravi Menon, berkata rantau Asia masih kekurangan dana dalam mengurangkan pelepasan dan membina daya tahan. - Foto ST

Asia adalah tempat jatuh bangunnya perjuangan melawan perubahan iklim.

Namun rantau tersebut masih kekurangan dana dalam mengurangkan pelepasan dan membina daya tahan, kata Duta Tindakan Iklim Singapura, Encik Ravi Menon, pada 5 Mei.

Berucap di Sidang Puncak Kedermawanan Asia anjuran Perikatan Kedermawanan Asia di bawah Temasek Trust, Encik Menon berkata pembiayaan kedermawanan, atau filantropi, dapat membantu mengisi jurang tersebut.

Asia menyumbang separuh daripada pelepasan sejagat, tambahnya, sambil berkata kira-kira 90 peratus daripada pertumbuhan permintaan tenaga dunia pada masa hadapan akan datang dari Asia, lapor The Straits Times.

Namun, secara global, kurang 2 peratus daripada sumbangan filantropi disalurkan untuk mencegah perubahan iklim.

Daripada jumlah itu, hanya 12 peratus disalurkan ke Asia, katanya.

“Tanpa menyahkarbonkan Asia, dunia tidak akan mencapai pelepasan sifar bersih.

“Ini adalah masa untuk filantropi memainkan peranan yang lebih besar dalam mendorong tindakan iklim di Asia,” tambah Encik Menon.

Pembiayaan awam tidak mencukupi manakala pembiayaan swasta, meskipun banyak, enggan terikat kerana risiko yang tinggi, kata mantan Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) itu.

Pembiayaan filantropi dapat membantu mengurangkan risiko projek supaya modal sektor swasta dapat dilibatkan, katanya.

Menurut Encik Menon, projek menyahkarbon kerap memerlukan modal dan pelaburan besar.

Modal filantropi dianggap sebagai “pemangkin” kerana ia bersedia menerima pulangan lebih rendah, hingga kerugian, dan dengan itu dapat membantu mengurangkan risiko yang ditanggung oleh entiti komersial.

Bagi badan filantropi, penggunaan alat pembiayaan seperti skim kewangan campuran juga dapat memaksimumkan kesan sumbangan mereka, berbanding dengan pemberian geran, tambah Encik Menon.

Kewangan campuran merujuk kepada penggunaan sokongan pembiayaan awam dan filantropi untuk memudahkan pembiayaan swasta untuk melibatkan diri.

Contoh inisiatif kewangan campuran adalah Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (Fast-P) yang dilancarkan oleh Singapura pada 2023 untuk mengumpul sehingga AS$5 bilion ($6.45 bilion) bagi menangani jurang pembiayaan dalam projek hijau di Asia.

Ia termasuk peralihan awal daripada loji kuasa arang dan peningkatan prasarana grid elektrik.

Fast-P melibatkan MAS, bank berbilang pembangunan dan pertubuhan filantropi, antara lain.

Dengan banyak bahagian di Asia Tenggara yang kekurangan data iklim yang mencukupi, badan filantropi juga boleh membiayai pengumpulan data, meningkatkan akses dan membina kapasiti tempatan dalam analisis data, kata Encik Menon.

Kekurangan data iklim menyukarkan usaha untuk mengurangkan pelepasan atau membuat persediaan terhadap kesan iklim.

Dengan peralihan kepada ekonomi rendah karbon yang akan mengganggu masyarakat dan mata pencarian, badan filantropi juga boleh membantu melatih semula pekerja dan memperkasakan masyarakat.

“Di tengah-tengah risiko yang semakin meningkat terhadap nyawa dan mata pencarian akibat krisis iklim, kita memerlukan filantropi untuk membantu masyarakat menyesuaikan diri dan berkembang,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg