Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump kenakan tarif 12.5% ke atas S’pura, jejas sepertiga eksport ke AS
Trump kenakan tarif 12.5% ke atas S’pura, jejas sepertiga eksport ke AS
Trump kenakan tarif 12.5% ke atas S’pura, jejas sepertiga eksport ke AS
Sekitar satu pertiga eksport Singapura ke Amerika Syarikat kini tertakluk kepada levi baharu 12.5 peratus yang membina semula dasar tarif Presiden Amerika Encik Donald Trump selepas keputusan mahkamah menjejaskan pelaksanaan dasar tersebut pada awal 2026.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata tarif baharu itu berkuat kuasa pada 24 Julai pada 12.01 tengah malam.
Notis dalam Daftar Persekutuan menyenaraikan Singapura bersama puluhan ekonomi lain yang kini dikenakan duti antara 10 hingga 12.5 peratus berikutan siasatan oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mengenai kebimbangan terhadap buruh paksa.
Mengumumkan levi baharu itu, Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer, berkata Amerika telah menguatkuasakan larangan import berkaitan buruh paksa selama hampir seabad dan kini menggesa rakan dagangnya berbuat demikian.
Siasatan USTR yang bermula pada Mac dan berakhir pada Julai meletakkan Singapura antara 45 ekonomi yang bakal dikenakan duti 12.5 peratus kerana didakwa gagal menggubal dan menguatkuasakan larangan terhadap perdagangan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Barangan daripada kira-kira 10 rakan dagang yang disifatkan telah melaksanakan sekatan terhadap buruh paksa akan dikenakan tarif 10 peratus, termasuk Mexico, Britain, Canada dan India.
Barangan dari Jepun, Switzerland dan Korea Selatan pula dikenakan cukai 12.5 peratus mengikut perjanjian perdagangan masing-masing dengan Amerika.
Singapura menolak dakwaan bahawa negara itu mengamalkan perdagangan tidak adil atau menggunakan buruh paksa dalam rantaian bekalan, sambil menegaskan ia tidak bertolak ansur dengan amalan tersebut.
Pada 24 Julai, MTI berkata pihaknya akan terus berunding dengan USTR bagi meneroka pilihan berhubung perkara itu. Tambahnya, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan tarif baharu itu akan dikongsi apabila siap.
“Singapura tidak bertolak ansur dengan penggunaan buruh paksa dan mempunyai rangka kerja penguatkuasaan yang menyeluruh serta rekod baik dalam membanteras amalan haram itu di negara ini,” kata MTI dalam kenyataan.
Kementerian itu berkata buruh paksa dalam rantaian bekalan antarabangsa yang rumit dan berlapis ialah isu rentas sempadan yang memerlukan kerjasama antarabangsa dan paling berkesan ditangani di puncanya.
“Singapura ialah hab perdagangan utama. Oleh itu, sebarang sekatan perdagangan, termasuk larangan terhadap barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, perlu dipertimbangkan dengan teliti, dan kami akan terus berbuat demikian melalui rundingan rapat dengan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura serta golongan perniagaan.”
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan berkata beliau telah membangkitkan perkara itu kepada Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio semasa Mesyuarat Menteri Ehwal Luar ASEAN di Manila pada 23 Julai.
MTI berkata produk yang tertakluk kepada tarif Seksyen 232, seperti logam utama (keluli, aluminium dan tembaga), produk hiliran serta barangan strategik tertentu seperti kereta, trak dan produk kayu, dikecualikan daripada langkah tarif baharu itu.
Sebahagian eksport akan terus dikecualikan, termasuk tenaga dan produk tenaga, farmaseutikal dan ramuan farmaseutikal, produk elektronik tertentu, produk aeroangkasa tertentu, semikonduktor serta logam yang digunakan bagi mata wang dan jongkong.
Menurut memorandum presiden dikeluarkan Rumah Putih, barangan yang sudah dikenakan tarif khusus sektor oleh Encik Trump dan baja turut dikecualikan, bersama-sama barangan yang dilindungi di bawah perjanjian perdagangan bebas Amerika-Mexico-Canada.
Tarif baharu ini adalah sebahagian daripada langkah bersiri untuk mengenakan tarif yang lebih tinggi selepas Mahkamah Agung Amerika membatalkan asas perundangan pada Februari bagi tarif timbal balik Encik Trump yang diperkenalkan pada 2025.
Ia menggantikan levi sedunia 10 peratus di bawah Seksyen 122 yang dikenakan selepas keputusan mahkamah tersebut dan telah tamat tempoh minggu ini.
Singapura bersama 15 ekonomi lain turut disiasat di bawah Seksyen 301 berhubung tindakan, dasar dan amalan yang berkaitan keupayaan berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan.
Masih belum jelas bila hasil siasatan itu akan diumumkan atau sama ada duti baharu akan ditambah kepada tarif buruh paksa.
Minggu lalu, Encik Greer berkata kepada Bloomberg Television bahawa siasatan mengenai keupayaan berlebihan mengambil masa lama berbanding siasatan buruh paksa kerana USTR sedang memastikan langkah itu mematuhi undang-undang.
Pakar percaya pentadbiran Encik Trump menggunakan Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 kerana tiada had tempoh atau had kadar tarif.
Dari sudut sejarah, langkah di bawah undang-undang ini juga terbukti jauh lebih sukar dibatalkan melalui semakan kehakiman.
Namun, penggunaan peruntukan itu untuk mengenakan tarif dunia secara pukul rata ke atas puluhan negara dianggap menyimpang daripada hasrat asal Kongres.
Oleh itu, pakar menjangkakan saman akan difailkan sebaik sahaja tarif itu berkuat kuasa.
Presiden Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF), Encik Lennon Tan, berkata dakwaan yang menjadi asas kepada tarif itu tidak mencerminkan piawaian yang dipatuhi oleh ahlinya.
Bagaimanapun, beliau berkata syarikat perkilangan Singapura akan merasakan kesannya.
“Ahli kami menghadapi ketidaktentuan sama ada duti tambahan akan dikenakan,” katanya, merujuk siasatan berhubung keupayaan berlebihan struktur dan pengeluaran yang sedang dijalankan.
“Kami sedang menjalankan tinjauan terhadap pengeksport yang terjejas, khususnya yang mempunyai pendedahan besar kepada pasaran Amerika, bagi mengukur kesannya serta menyalurkan kebimbangan mereka kepada pemerintah,” katanya.
Encik Tan berkata pengilang perlu terus mempelbagaikan pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, serta memanfaatkan rangkaian perjanjian perdagangan bebas Singapura dan pertumbuhan serantau bagi mengelakkan terlalu bergantung pada satu pasaran.