Singapura menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2025 berikutan prestasi lebih baik daripada jangkaan pada separuh pertama 2025.
Namun, ia memberi amaran bahawa prospek ekonomi masih kabur disebabkan tarif Amerika Syarikat, dengan risiko yang lebih cenderung ke arah kemerosotan ekonomi.
Menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 12 Ogos, ramalan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dinaikkan kepada 1.5 peratus hingga 2.5 peratus, daripada julat sebelum ini, iaitu 0 hingga 2 peratus.
“Kenaikan ini pada umumnya mencerminkan prestasi ekonomi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan pada separuh pertama 2025,” kata MTI dalam satu kenyataan.
Semakan tersebut dibuat selepas ekonomi mencatat pertumbuhan lebih baik, iaitu 4.4 peratus pada suku kedua 2025, berbanding peningkatan 4.1 peratus pada tiga bulan pertama – menjadikan pertumbuhan separuh tahun pertama 2025 kepada 4.3 peratus.
Berdasarkan data suku tahunan yang disesuaikan mengikut musim, ekonomi Singapura berkembang 1.4 peratus pada suku kedua, lebih baik daripada penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama, lapor The Straits Times (ST).
MTI membuat ramalan sebelum ini pada April, beberapa hari selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan dasar “tarif timbal balas” yang mengancam mengenakan cukai baru ke atas hampir kesemua barangan eksport ke ekonomi terbesar dunia.
Bagaimanapun, sejak itu, banyak negara dikenakan kadar tarif yang jauh lebih rendah, hasil rundingan dengan Amerika.
Selain itu, banyak syarikat telah membuat pesanan awal bagi barangan untuk mengelak kesan kenaikan kos niaga akibat tarif baru Amerika itu.
Keadaan tersebut menyebabkan peningkatan luar biasa dalam kegiatan pengilangan dan eksport barangan di luar tempoh musim biasa.
Pesanan awal tersebut telah meningkatkan eksport utama Singapura sebanyak 5.2 peratus pada enam bulan pertama 2025, berbanding tempoh sama pada 2024.
MTI menyatakan bahawa pertumbuhan GDP pada suku kedua pada umumnya dirangsang oleh sektor berorientasi eksport seperti perdagangan borong, pengilangan, kewangan dan insurans, serta pengangkutan dan penyimpanan.
“Sektor perdagangan borong, serta pengangkutan dan penyimpanan, dirangsang oleh kegiatan pesanan awal (oleh pengimport) di rantau ini sebelum tarif Amerika dilaksanakan,” tambah MTI.
Sebaliknya, sektor domestik seperti perkhidmatan makanan dan minuman menyusut, antara lain disebabkan kian ramai rakyat dan penduduk Singapura yang membuat perjalanan ke luar negara.
Bagaimanapun, ekonomi Singapura dijangka tidak akan menunjukkan prestasi yang begitu baik pada separuh kedua 2025.
Walaupun ia menghadapi kadar tarif timbal balas paling rendah iaitu 10 peratus – berbanding kadar tarif yang jauh lebih tinggi bagi kebanyakan negara Asia lain – Singapura masih menghadapi risiko ketara jika Encik Trump mengenakan cukai terhadap eksport farmaseutikal dan semikonduktor.
Negara ini yang bergantung kepada perdagangan juga dijangka terjejas jika rakan dagangnya mengalami pertumbuhan ekonomi lebih rendah.
MTI turut memberi amaran bahawa tarif baru Amerika boleh mengakibatkan keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu.
Ini pula boleh menyebabkan syarikat menghentikan pengambilan pekerja buat sementara waktu.
Isi rumah pula mungkin mengurangkan perbelanjaan, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg