Singapura mencatat peratusan tertinggi di dunia bagi iklan pekerjaan yang mengandungi rujukan kepada kecerdasan buatan (AI), menurut data pengambilan pekerja baru yang dikeluarkan oleh Indeed.
Portal mencari kerja itu pada 24 September berkata satu dalam enam iklan pekerjaan tempatan pada Ogos mengandungi rujukan kepada alat AI, termasuk pembelajaran mesin dan AI generatif.
Iklan pekerjaan dalam bidang data dan analitik mencatatkan peratusan rujukan kepada AI tertinggi pada bulan tersebut (57 peratus), meskipun jumlah iklan bagi sektor itu merosot 15.9 peratus sepanjang tiga bulan hingga akhir Ogos.
Bidang pembangunan perisian berada di tempat kedua (39 peratus), diikuti penyelidikan saintifik (35 peratus) dan kejuruteraan perindustrian (33 peratus).
Pakar ekonomi kanan Asia-Pasifik di Indeed, Encik Callam Pickering, berkata kekerapan rujukan kepada AI dalam iklan kerja pada Ogos mencerminkan kadar penerimaan teknologi itu yang pesat di Singapura.
Menurut pengamatan beliau, peratusan iklan pekerjaan dengan rujukan kepada AI melebihi 10 peratus bagi sekitar separuh daripada semua pekerjaan pada bulan tersebut.
Ini mencerminkan kedudukan Singapura sebagai hab teknologi serantau serta saiz sektor teknologinya berbanding negara lain.
Secara keseluruhan, jumlah iklan pekerjaan terus turun pada Ogos, merosot 16.2 peratus berbanding Ogos 2024.
Namun, kadar penurunan bulanan semakin perlahan, menandakan “pemulihan sederhana dalam kegiatan pengambilan pekerja”, kata Indeed.
Berbanding Julai, jumlah iklan pada Ogos merosot 1.3 peratus. Ini sekitar satu pertiga daripada penurunan 4.8 peratus yang dicatat pada Julai, tambah portal pekerjaan itu.
Menurut data Indeed, permintaan bagi beberapa jawatan dalam sektor penjagaan dan perkhidmatan asas meningkat sepanjang tiga bulan hingga akhir Ogos.
Iklan pekerjaan bagi jawatan perkhidmatan dan penyediaan makanan mencatat peningkatan tertinggi, melonjak sebanyak 10.7 peratus.
Ini diikuti iklan pekerjaan dalam bidang perundangan (8.8 peratus); penjagaan peribadi dan kesihatan rumah (8.1 peratus); serta pembersihan dan sanitasi (6.6 peratus).
Sementara itu, iklan pekerjaan bagi bidang penjagaan kanak-kanak merosot sebanyak 46.5 peratus.
Iklan pekerjaan bagi sektor perkhidmatan veterinar merosot sebanyak 27.7 peratus manakala sektor pergigian menyaksikan kemerosoton 24.9 peratus.
Bidang seni dan hiburan, sukan, insurans serta perbankan dan kewangan turut mencatat penurunan dalam jumlah iklan pekerjaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg