Bulan Ogos ini berlangsung beberapa acara dan perkara yang menjadi tumpuan ramai.
Antara yang utama ialah perayaan Hari Kebangsaan negara yang ke-60 (SG60) pada 9 Ogos lalu, menandakan 60 tahun kemerdekaan Singapura pada 9 Ogos 1965.
Selain itu, berlangsung juga Rapat Hari Kebangsaan dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan beberapa perkembangan dan inisiatif penting, selain menyeru rakyat supaya terus menghidupkan Semangat Singapura sedang negara ini membuka lembaran baru selepas meraikan SG60.
Beliau berkata Semangat Singapura adalah daya penggerak yang menyatukan rakyat sepanjang 60 tahun lalu, dan tetap menjadi penting sedang negara ini menghadapi pelbagai cabaran dalam geopolitik yang tidak menentu dalam masa mendatang.
Berkaitan keadaan tidak menentu ini, turut berlaku pada 7 Ogos lalu, pelaksanaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat ke atas kebanyakan negara dunia yang mampu menjejas kegiatan ekonomi dan perdagangan sejagat dan juga Singapura.
Tarif itu telah menyebabkan kegelisahan dan kebimbangan ramai warga dunia dan Singapura, yang prihatin kesannya akan membawa kepada kos lebih tinggi ke atas barangan, kos sara hidup lebih besar serta menjejas pekerjaan dan pendapatan.
Tarif itu diperkenalkan Amerika, dengan Singapura tidak terkecuali – negara kita dikenakan kadar asas 10 peratus ke atas barangan yang dieksport dari Singapura ke Amerika.
Beberapa negara Asean lain seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja dikenakan kadar 19 peratus, dan Vietnam 20 peratus.
Beberapa negara bukan Asean seperti Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah (EU) pula dikenakan kadar tarif sama iaitu 15 peratus.
Tarif tersebut, menurut Amerika, umumnya adalah untuk mengimbangi defisit perdagangan yang dialami negara itu melalui perdagangan dengan negara lain.
Dengan tarif itu, dikatakan defisit itu dapat dikurangkan, selain menjana pendapatan bulanan berbilion dolar bagi Amerika.
Sememangnya, tarif tersebut memberi kesan kepada negara kecil seperti Singapura yang mengamalkan ekonomi terbuka dan amat bergantung kepada perdagangan dan eksport.
Pada peringkat sejagat, tarif tersebut khususnya yang dikenakan ke atas China, menimbulkan risiko perang dagangan antara ekonomi terbesar dengan kedua terbesar dunia.
Perang dagangan, jika berlaku antara dua kuasa besar ini, akan menjejas perdagangan dan ekonomi negara lain termasuk Singapura yang mempunyai jumlah dagangan besar dengan kededua Amerika dan China.
Pada 2024, anggaran dagangan Singapura dengan China adalah kira-kira AS$111.1 bilion ($142.9 bilion), sementara dagangan Singapura dengan Amerika adalah kira-kira AS$89.2 bilion dalam tempoh sama.
Jelas dilihat, jika berlaku perang dagangan atau perang tarif antara dua negara besar itu, Singapura dijangka terjejas.
Selain itu, pelaksanaan tarif juga akan menjejas rantaian bekalan dengan banyak syarikat terpaksa mencari alternatif daripada syarikat pengeluar di negara yang dikenakan tarif tinggi, kepada negara dengan tarif lebih rendah.
Ini akan memaksa syarikat mengeluarkan kos tambahan dalam mengubah strategi perniagaan, yang kemudian boleh meningkatkan kos pengeluaran, yang akhirnya memberi kesan kepada harga barangan di pasaran dunia.
Bagi Singapura yang mengamalkan ekonomi terbuka dan bergantung besar kepada perdagangan bebas, tarif Amerika itu akan memberi kesan langsung dan tidak langsung, dengan Singapura menghadapi tekanan apabila aliran perdagangan sejagat terganggu ekoran kekangan dagangan dan rantaian bekalan yang dicetuskan tarif tersebut.
Selain itu, apa jua ketidaktentuan ekonomi sejagat akan secara langsung menjejas keyakinan pelabur, sekali gus boleh membawa kepada penurunan pelaburan asing ke negara ini.
Pemerintah Singapura telah memberi komitmen untuk membantu warga Singapura dalam mengharungi cabaran ketidaktentuan masa kini dan masa depan, antaranya dengan pemberian pelbagai bantuan seperti baucar SG60, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV).
Dari segi ekonomi, Encik Wong telah menekankan bahawa Singapura memerlukan pelan induk ekonomi baru untuk menjamin masa depannya dengan satu Pasukan Petugas Ketahanan Ekonomi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan memikirkan cara segar untuk memastikan penakatan ekonomi negara kecil ini.
Dalam ucapannya sempena Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos pula, Encik Wong turut menyeru rakyat Singapura supaya terus menghidupkan Semangat Singapura sedang negara ini membuka lembaran baru selepas meraikan SG60.
Oleh itu, walaupun negara ini menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik sejagat, saya yakin Semangat Singapura ini akan membantu warga dan negara dalam menangani masa sukar.
Warga Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam, perlu bersiap sedia dalam mengharungi masa lebih mencabar dalam keadaan ekonomi dan geopolitik yang lebih tidak menentu ini.
Kita tidak boleh menganggap perkara akan menjadi seperti biasa seperti sebelumnya, kerana keadaan tidak akan kembali seperti biasa.
Malah akan berlaku beberapa perubahan besar di peringkat sejagat yang bakal menjadi perkara biasa yang baru.
Persediaan perlu dilakukan antaranya warga bersedia mengubah minda bagi memastikan kita sentiasa mempertingkat kemahiran diri dan ilmu, termasuk dalam kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh dana simpanan masing-masing sebagai persiapan jika keadaan menjadi lebih sukar.
Semangat Singapura ini, sepanjang tempoh 60 tahun lalu, telah membantu dan membawa negara ini mencapai banyak kemajuan dan kemakmuran.
Oleh itu, wajar semangat ini diteruskan dan diperkukuhkan lagi agar warga, bersama dengan pemerintah, mampu mengharungi segala macam keadaan bergejolak dan tidak menentu, termasuk menangani kesan tarif Amerika.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg