Lebih $45 juta diperuntuk bagi tempoh tiga tahun akan datang untuk membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam industri perkilangan maju menggunakan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dalam operasi mereka.

Ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Strategi AI Kebangsaan Singapura yang diumumkan Menteri Negara (Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar), Cik Gan Siow Huang, pada 21 Oktober.

Menurut Cik Gan, inisiatif Catalytic AI Solutions (Penyelesaian AI Bermangkin) itu bakal menjadikan teknologi tersebut lebih mudah diakses bagi SME, sekali gus membantu mereka mengatasi halangan yang lazimnya timbul dalam penerimaan AI.

“Kita ingin AI mudah diakses bukan sahaja bagi pengilang besar, tetapi juga SME kita,” katanya pada acara Transformasi Industri Asia Pasifik (ITAP) di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.

“Menerusi inisiatif ini, pengilang boleh mengakses penyelesaian AI yang sedia digunakan bagi meningkatkan daya pengeluaran, mengoptimumkan kecekapan dan memperkukuh daya saing mereka,” tambahnya.

Di bawah inisiatif berkenaan, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) akan bekerjasama dengan persatuan serta dewan perniagaan dan vendor bertauliah bagi menawarkan rangkaian penyelesaian kepada SME, dengan beberapa syarikat sudah pun menyatakan minat untuk menyertainya.

Penyelesaian tersebut merangkumi tugasan seperti pengoptimuman reka bentuk produk dan komponen, penambahbaikan penjadualan pengeluaran serta penyelenggaraan jangkaan.

Penolong Pengarah Urusan bagi Perkilangan EnterpriseSG, Encik Wong Zeng Yi, berkata:

“AI membuka peluang baharu bagi pengilang untuk meningkatkan daya pengeluaran, mutu, dan kecekapan, di samping mewujudkan peluang pendapatan baharu menerusi inovasi lebih pantas.

“Kami mahu membantu lebih ramai pengilang menerapkan AI dalam operasi teras mereka, supaya mereka dapat menikmati manfaat ini secara meluas.”

SME yang layak akan menerima pembiayaan bersama daripada EnterpriseSG bagi pelaksanaan penyelesaian AI ini. 

EnterpriseSG juga merancang untuk meluaskan inisiatif berkenaan ke sektor logistik dan perdagangan borong.

Satu lagi inisiatif yang diumumkan pada ITAP ialah portal pekerjaan sektor perkilangan yang dibangunkan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF).

Cik Gan menggalakkan majikan dan pencari kerja untuk mendaftar di Manufacturing and Talent Connection Hub (Hab Hubungan Perkilangan dan Bakat), yang dijangka mula beroperasi lewat 2026.

Sektor perkilangan menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura dan menyumbang 12 peratus peluang pekerjaan kepada tenaga kerja negara. 

Transformasi industri kini menjadi semakin penting, kata Cik Gan, berikutan persekitaran operasi pengilang yang kian rumit akibat pasaran tenaga kerja yang ketat, persaingan sengit bagi mendapatkan pelaburan serta rantaian bekalan yang terjejas disebabkan isu geopolitik.

Syarikat juga perlu menjadi lebih mampan sambil mengekalkan daya saing mereka, tambahnya.

“Teknologi canggih seperti robotik, kembar digital (digital twins) dan AI mampu membantu pengilang kita meningkatkan daya pengeluaran, memperkukuh daya saing serta menawarkan peranan berkemahiran tinggi bagi tenaga kerja kita.

“Jika kita bertindak secara proaktif, Singapura dapat memperkukuh kedudukannya sebagai hab global yang penting bagi perkilangan maju, di mana syarikat-syarikat membangunkan teknologi baharu serta keupayaan kejuruteraan, melaksanakannya secara meluas dan menyumbang kepada sektor perkilangan sejagat,” kata Cik Gan.

Langkah ini bertepatan dengan siri misi AI kebangsaan merangkumi bidang perkilangan maju, ketersambungan, kewangan serta penjagaan kesihatan yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2026.

Ia juga selari dengan penubuhan Majlis AI Kebangsaan yang dipengerusikan Encik Wong, bagi membantu Singapura memanfaatkan keupayaan AI sebagai satu kelebihan strategik.