Topik diikuti
Pergi ke BHku2,000 peranan teknologi disediakan bagi lulusan baharu, pekerja tingkat kemahiran
Hampir 2,000 peranan dalam bidang teknologi dan peluang latihan kini disediakan untuk lulusan baharu serta karyawan pertengahan kerjaya yang ingin meningkatkan kemahiran.
Peranan dan peluang latihan tersebut ditawarkan menerusi program kendalian pemerintah yang diperluas dengan kerjasama syarikat seperti Accenture, NCS dan Microsoft.
Ia merangkumi bidang seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, data dan perisian di lebih 20 syarikat, di bawah jalinan kerjasama baharu yang diterajui oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Antara jawatan yang ditawarkan termasuk jurutera perisian, penganalisis keselamatan dan saintis data.
Bidang-bidang ini menyaksikan keperluan tenaga kerja yang terus meningkat di Singapura, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 20 Ogos, semasa mengumumkan Program Latihan Diterajui Syarikat yang baharu itu.
Program berkenaan berada di bawah inisiatif Pemacu Kemahiran Teknologi IMDA yang diperluas.
Inisiatif tersebut bertujuan membantu karyawan dalam dan luar bidang teknologi menguasai kemahiran digital, sekali gus membuat peralihan kerjaya ke dalam sektor teknologi.
Cik Teo berkata demikian kepada kira-kira 800 hadirin, termasuk pemimpin teknologi dan perniagaan, di Forum Tech3 2026 anjuran Persatuan Komputer Singapura yang diadakan di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore, di Marina Bay.
Menyedari bahawa AI telah menjadikan kemahiran teknologi tertentu seperti pengekodan sebagai satu kemahiran asas, Cik Teo menggesa para karyawan dalam kalangan hadirin supaya memperkukuh pembangunan pertimbangan manusia, berbanding bersaing dengan kelebihan yang dimiliki AI.
“Ini termasuk keperluan untuk kita membina pemahaman mendalam mengenai konteks, hubungan, dinamik peribadi, serta cara untuk menilai sama ada kesan (teknologi) terlalu besar bagi sesetengah golongan masyarakat dan bagaimana untuk menanganinya,” kata Cik Teo.
“Memandangkan AI semakin mahir menghasilkan kod, analisis dan kandungan, nilai pertimbangan manusia akan menjadi semakin penting – iaitu pertimbangan untuk memahami isu yang perlu ditangani, mengapa sesuatu penyelesaian itu besar kemungkinan akan berjaya atau gagal, serta bagaimana untuk mengorak langkah ke hadapan.”
Cik Teo menarik perhatian bahawa pemahaman sedemikian lazimnya dibina menerusi pengalaman.
Hal ini menyebabkan sesetengah lulusan baharu dan karyawan pertengahan kerjaya sukar untuk memulakan langkah atau beralih ke peranan baharu.
Program Latihan Diterajui Syarikat ini diperluas bagi menangani cabaran tersebut.
Pemohon yang berjaya akan mempelajari cara menggunakan AI untuk membangunkan aplikasi dan menyepadukannya ke dalam sistem perusahaan dalam bidang seperti kewangan, penjagaan kesihatan, logistik dan teknologi, kata IMDA, merujuk kepada peranan teknologi yang ditawarkan itu.
Senarai penuh peranan yang ditawarkan itu boleh didapati di laman web IMDA.
Dalam pada itu, Singapura juga boleh mengukuhkan daya saingnya menggunakan AI, namun ia tidak akan dilakukan melalui persaingan perbelanjaan dengan pihak yang mempunyai peruntukan terbesar.
“Sebaliknya, strategi kita adalah dengan memperkukuh kekuatan sedia ada dan membina kelebihan lebih ketara.
“Atas sebab itulah misi AI kebangsaan pada peringkat awal akan tertumpu kepada empat sektor utama yang secara keseluruhan menyumbang lebih 40 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kita dan menyediakan pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat Singapura,” kata Cik Teo.
Misi AI kebangsaan, yang pertama kali dibentangkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2026, bertujuan mempercepat pembangunan dan penggunaan penyelesaian AI dalam bidang perkilangan maju, keterhubungan, kewangan dan penjagaan kesihatan.
