ST Engineering dan MAN Truck and Bus, kini mengorak langkah menyertai usaha Singapura menjadikan kumpulan bas awamnya menggunakan elektrik. Pengendali pengangkutan swasta di sini telah membeli sebuah bas elektrik daripada pengeluar Eropah itu.
Bas elektrik satu tingkat itu, ‘MAN Lion’s City E’, diperkenalkan di sebuah pameran di Hab ST Engineering di Ang Mo Kio Electronics Park Road pada 29 Ogos.
“Ini adalah bas elektrik pemanduan kanan pertama daripada MAN yang mereka hasilkan, dan Singapura negara pertama menerimanya daripada MAN,” kata Encik Hoe Yeen Teck, yang mengetuai bahagian jalan raya dan perkhidmatan mobiliti ST Engineering.
ST Engineering adalah pengimport dan pengedar eksklusif Bas MAN di Singapura, dan telah membekalkan lebih 1,000 bas diesel kepada kumpulan bas awam di Singapura.
Dua syarikat itu bekerjasama “untuk membawa bas elektrik generasi baru dengan teknologi sistem bantuan pemandu termaju yang inovatif, yang menyokong usaha Singapura ke arah kumpulan bas awam lebih bersih”, kata ST Engineering, lapor The Straits Times.
‘MAN Lion’s City E’ menggunakan teknologi bateri generasi baru dan mempunyai salah satu kapasiti bateri tertinggi dalam bas elektrik satu tingkat di sini.
Ia mempunyai jumlah kapasiti bateri kira-kira 480kWj (setiap kilowatt jam) merentasi enam pek bateri, kata ST Engineering.
Ini membolehkan ia bergerak bagi tempoh lebih lama sebelum perlu dicas dan membawa lebih ramai penumpang berbanding bas menggunakan teknologi bateri generasi sebelumnya, dengan bas itu mempunyai kapasiti tempat duduk 40 penumpang, kata syarikat itu.
Tidak seperti bas elektrik lain, yang biasanya membawa bateri di bumbung dan belakang kenderaan, bas ini membawa bateri secara eksklusif di bumbungnya untuk mengelakkan kerosakan jika berlaku perlanggaran, kata ST Engineering.
Bas elektrik itu juga adalah yang pertama di Singapura menggunakan kamera digital sebagai ganti cermin sisi, dengan paparan di dalam bas memberikan pemandu keluasan penglihatan yang dipertingkat demi keselamatan.
Sistem itu serupa sistem penggantian cermin digital MAN OptiView yang digunakan dalam kenderaan syarikat itu.
Unit pertama itu dibeli pengendali pengangkutan swasta Leisure Frontier pada harga $600,000, tidak termasuk kos Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).
Pengarah Urusan Leisure Frontier, Encik Terence Ng, berkata syarikat itu akan mula menggunakan bas elektrik baru tersebut pada suku keempat 2024 bagi perkhidmatan ulang-alik ke pusat beli-belah, pejabat dan kem tentera.
Leisure Frontier juga sedang membincangkan tempahan bagi lebih banyak unit bas itu, kata Encik Hoe daripada ST Engineering.
Encik Alexander Vlaskamp, ketua eksekutif MAN Truck and Bus, berkata: “Singapura pasaran sangat penting bagi kami di Asia Tenggara.”
Beliau menambah bahawa syarikatnya mengalu-alukan cita-cita hijau Singapura untuk mengubah separuh kumpulan bas awamnya menjadi bas elektrik menjelang 2030.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) meletak sasaran separuh daripada 6,000 bas awam Singapura menggunakan tenaga elektrik menjelang 2030, serta memastikan semua bas awam menggunakan tenaga lebih bersih menjelang 2040.
Ini sebahagian usaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida dari sektor pengangkutan darat, yang menyumbang 15 peratus daripada karbon dioksida yang dihasilkan Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg