Maklum balas orang ramai sedang dicari untuk meningkatkan keselamatan bas awam berikutan beberapa kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam baru-baru ini.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 23 Ogos melancarkan satu tinjauan dalam talian yang mengundang orang ramai menilai sejauh mana mereka berasa selamat ketika menaiki bas awam, lapor The Straits Times.
Mereka juga boleh memberikan cadangan bagaimana keselamatan boleh dipertingkatkan.
Dalam hantaran Facebook pada 23 Ogos, Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, menggalakkan rakyat Singapura supaya berkongsi maklum balas mereka dengan terus terang.
Menurut beliau, ia akan membantu pihak berkuasa mencari penyelesaian yang akan “memberi manfaat kepada kapten bas, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain”.
Tinjauan itu adalah salah satu langkah oleh Pasukan Petugas Tiga Pihak Keselamatan Bas yang diketuai oleh Encik Murali, yang berusaha mengenal pasti cara industri bas membuat penambahbaikan selanjutnya, dan membina inisiatif dan amalan keselamatan.
“Dalam beberapa bulan akan datang, pasukan petugas akan melibatkan pihak berkepentingan yang berbeza, termasuk penumpang dan kapten bas, untuk mendapatkan pandangan mereka tentang apa lagi yang boleh kami lakukan untuk meningkatkan keselamatan bas,” tulis Encik Murali di Facebook.
Pasukan petugas itu terdiri daripada wakil agensi-agensi pemerintah, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan, keempat-empat pengendali bas awam dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura.
Empat pengendali itu ialah SBS Transit, SMRT Buses, Go-Ahead Singapore dan Tower Transit Singapore.
Secara keseluruhannya, mereka mengendalikan kira-kira 5,800 bas awam.
Usaha terbaru itu susulan beberapa kemalangan membabitkan bas awam.
Pada Jun, terdapat sekurang-kurangnya lima kemalangan sedemikian.
Pemerintah sebelum ini menyatakan bahawa jumlah kemalangan serius yang melibatkan bas awam kekal stabil setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.
Terdapat 75 kemalangan sedemikian dalam tempoh lima bulan pertama 2024, berbanding 207 pada keseluruhan 2023 dan 207 pada keseluruhan 2022.
Pada 2023, secara purata 3.75 juta perjalanan bas awam diambil setiap hari.
Encik Murali juga menegaskan bahawa jumlah kecederaan di tempat kerja untuk operasi kereta api dan bas telah menurun.
Terdapat 37 kes sedemikian pada separuh pertama 2024, turun daripada 49 dalam tempoh yang sama pada 2023, kata Encik Murali, yang turut berucap pada majlis Anugerah Keselamatan dan Kesejahteraan Pengangkutan Awam pada 23 Ogos.
“Walaupun trend ini bergerak ke arah yang betul, kita mesti kekal merendah diri, kekal berwaspada dan terus membuat penambahbaikan, untuk mengurangkan lagi kecederaan di tempat kerja,” kata beliau dalam ucapannya.
Encik Murali juga berkata adalah penting untuk mempunyai pemikiran bahawa “setiap kemalangan adalah kemalangan yang terlalu banyak”.
“Inilah sebabnya apabila sebarang kemalangan berlaku, adalah amat penting bagi kita untuk bersama-sama menyiasat puncanya dan melaksanakan penambahbaikan, supaya kita boleh bergerak lebih dekat kepada sasaran kolektif sifar kemalangan,” katanya.
Tinjauan boleh didapati di https://go.gov.sg/bussafetyfeedback
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg