Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aliran Transit Automasi bertingkat mampu selesai kesesakan serius di JB

Mar 13, 2025 | 2:18 PM
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) (gambar) dan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) akan saling melengkapi untuk mengatasi kesesakan teruk di Johor Bahru.
Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) (gambar) dan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) akan saling melengkapi untuk mengatasi kesesakan teruk di Johor Bahru. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat dijangka dapat mengurangkan isu kesesakan lalu lintas kritikal di Johor Bahru (JB), dengan penyediaan alternatif pengangkutan awam lebih bersepadu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata Kerajaan Johor dijangka dapat memulakan proses Permintaan Cadangan (RFP) serta tender bagi projek ART itu pada Mac atau April ini, supaya kerja-kerja pembinaan boleh dimulakan pada suku ketiga 2025.

Ini hasil pertemuan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, baru-baru ini yang mengadakan pertemuan bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) di Putrajaya bagi membincangkan kaedah pelaksanaan projek itu.

“Projek ART ini amat penting kerana JB kini disenaraikan sebagai satu daripada bandar raya dalam Jawatankuasa Kabinet untuk kesesakan, sekali gus mencerminkan tahap serius masalah lalu lintas.

“Kita tidak boleh bergantung kepada satu sistem (pengangkutan) saja apatah lagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang menghubungkan JB-Singapura akan mula beroperasi pada 1 Januari 2027.

“JB memerlukan sistem pengangkutan pelengkap RTS supaya kesesakan di pusat bandar raya tidak bertambah teruk apabila sistem itu mula beroperasi nanti,” katanya, selepas merasmikan program, Jualan Rahmah Madani, di Pasar Awam Perling, Johor Bahru, pada 13 Mac, lapor Harian Metro.

Projek ART bertingkat dilaporkan menelan kos hampir RM7 bilion ($2.1 bilion) dan bakal beroperasi seiring dengan RTS Link, yang menghubungkan JB dengan Singapura pada 1 Januari 2027.

Ia bakal merangkumi 32 stesen dengan jajaran lebih 50 kilometer (km) membabitkan tiga laluan utama – iaitu Laluan Iskandar Puteri (14.78 km); Laluan Skudai (18.8 km) dan Laluan Tebrau (14 km).

Mengulas lanjut, Encik Lee berkata sistem ART bertingkat bukan saja menyokong serta menyuraikan aliran trafik di JB, malah melengkapkan sistem bas dan teksi sedia ada serta menjadi alternatif bagi pergerakan warga kota.

“Dengan adanya RTS Link dan ART, kita boleh mengurangkan kesesakan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan dan memberi manfaat kepada ekonomi Johor.

“Apabila siap kelak, ART dijangka memberikan kesan ekonomi yang besar kepada JB, selain menjimatkan masa perjalanan serta menyokong pertumbuhan sektor peruncitan, makanan, pelancongan dan lain-lain,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg