Beberapa kakitangan di Standard Chartered (StanChart) dilaporkan telah diberhentikan di Singapura dalam satu lagi pusingan pembuangan kerja oleh bank yang berpangkalan di London itu.
Langkah itu menjejaskan kira-kira 80 kakitangan yang berpangkalan di Singapura – difahamkan daripada pasukan teknologi dan operasi bank tersebut – dengan tugas mereka dipindahkan ke India, menurut portal pekerjaan kewangan, efinancialcareers.
Dalam artikel laman web yang diterbitkan pada 12 Jun, firma perkhidmatan kewangan global itu menyatakan bahawa “sumber dari cawangan di Singapura itu berkata 80 pekerjaan yang kini dipindah ke India mungkin hanya langkah permulaan”.
“Singapura kekal sebagai pusat penting bagi perniagaan global serta pasukan teknologi dan operasi,” kata jurucakap StanChart ketika dihubungi The Straits Times (ST), tanpa memberikan butiran sama ada pemberhetian kerja itu adalah sebahagian daripada rancangan bank untuk menjimatkan kos bagi mengembalikan modal kepada pemegang saham.
“Kami sentiasa berusaha meningkatkan operasi kami untuk berkhidmat kepada pelanggan dengan lebih baik.
“Sebagai firma global, kami mengekalkan gabungan dinamik bakat tempatan bertaraf dunia di pasaran utama kami, termasuk Singapura dan memanfaatkan kepakaran pelbagai disiplin yang berpusat di hab perkhidmatan perniagaan global kami,” tambahnya.
Bank itu, yang memperoleh sebahagian besar keuntungannya di Asia dan Timur Tengah, kini sedang melaksanakan program penjimatan kos korporat yang dikenali sebagai Fit for Growth, dengan matlamat mengembalikan AS$1.5 bilion ($1.93 bilion) lagi kepada pemegang saham.
Bank ini telah melaporkan pendapatan suku keempat yang melebihi jangkaan pada Februari 2025.
Sebelum ini, bank tersebut telah menghentikan kira-kira 100 pekerja di hab Singapura, London dan Hong Kong pada November 2024.
Ini merupakan sebahagian daripada rancangan bank itu untuk mengurangkan kos melebihi AS$1 bilion menjelang akhir 2024.
Ibu pejabat StanChart di Singapura terletak di Marina Bay Financial Centre, dengan rangkaian 11 cawangan dan lebih 30 mesin ATM di seluruh negara.
“
“Kami sentiasa berusaha meningkatkan operasi kami untuk berkhidmat kepada pelanggan dengan lebih baik. Sebagai firma global, kami mengekalkan gabungan dinamik bakat tempatan bertaraf dunia di pasaran utama kami, termasuk Singapura dan memanfaatkan kepakaran pelbagai disiplin yang berpusat di hab perkhidmatan perniagaan global kami.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg