Dalam menangani perubahan iklim, pendekatan Singapura berteraskan perancangan jangka panjang dan iltizam politik, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
“Masa depan Singapura dan penakatan kita adalah di bahagian depan dan tengah segala yang kita lakukan. Strategi penyesuaian kami tidak sedikit pun,” kata beliau, yang menyifatkan perubahan iklim sebagai “cabaran penentu generasi kita”.
“Kita sedang melihat 30, 50, malah 100 tahun mendatang,” tambah Encik Zaqy, semasa perbahasan Amanat Presiden di Parlimen pada 22 September.
Pendekatan ini merangkumi segala-galanya, daripada menangani cuaca yang semakin tidak menentu hinggalah memastikan negara mempunyai bekalan makanan dan air yang mencukupi.
Salah satu contoh ialah komitmen Singapura untuk memperuntukkan sekitar $100 bilion sepanjang abad akan datang bagi perlindungan pesisir pantai, lapor The Straits Times (ST).
“Kami baru sahaja empat, lima bulan memasuki penggal baru, namun ini merupakan satu komitmen kewangan yang serius, dirancang dengan berhemat dan akan dibiayai secara mampan melalui dasar fiskal serta rizab kami,” kongsi Encik Zaqy.
Beliau menekankan bahawa strategi penyesuaian Singapura adalah diselaraskan, bercita-cita tinggi, dan disokong oleh pemikiran jangka panjang merentas generasi pemimpin.
Salah satu kisah kejayaan yang beliau ketengahkan adalah Bendungan Marina, sebuah empangan yang dibina merentasi Saluran Marina selebar 350 meter untuk menghalang air laut, sekali gus mewujudkan takungan ke-15 di pusat bandar Singapura.
Apabila empangan itu mula dicadangkan, timbul keraguan tentang keberdayaan dan nilainya.
“Hari ini, ia menjadi salah satu mercu tanda ikonik Singapura, sebuah takungan, benteng banjir, dan tempat keluarga berkumpul untuk beriadah... Walaupun ia dibina untuk kawalan banjir dan bekalan air, kini ia menjadi lokasi keluarga berkelah, pelajar menimba ilmu dan masyarakat berhimpun.
“Itulah pendekatan yang mesti kita ambil. Melindungi rakyat dan aset dengan tujuan, serta mencipta nilai yang lebih besar dalam penyesuaian,” ujar Encik Zaqy.
Mengakui bahawa rentak tindakan iklim semakin perlahan dan semangat kerjasama global semakin lemah, beliau berkata Singapura tetap akan merasai sepenuhnya kesan perubahan iklim meskipun hanya menyumbang 0.1 peratus daripada jumlah pelepasan global.
“Walaupun kita tidak mampu mengubah haluan dunia secara bersendirian, kita mesti bersedia untuk hidup dengan akibatnya,” jelas beliau tentang kesan perubahan iklim termasuk paras laut yang semakin meningkat dan suhu yang semakin panas.
Menurut beliau, pemerintah telah memulakan projek jangka panjang seperti projek penambakan besar-besaran Long Island di kawasan East Coast, serta melancarkan kajian tapak khusus di sekitar Singapura untuk mewujudkan satu lingkaran daya tahan untuk melindungi pinggir pantai negara.
Bagi membina daya tahan terhadap haba seiring peningkatan suhu, pemerintah sedang membangunkan strategi daya tahan haba secara keseluruhan, yang merangkumi perancangan bandar, reka bentuk bangunan, kesihatan awam dan kesedaran masyarakat, ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg