Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

StarHub beli baki niaga jalur lebar MyRepublic

MyRepublic kekalkan perniagaan mudah alih maya yang bukan milik StarHub
Aug 12, 2025 | 2:42 PM
StarHub memperoleh baki 49.9 peratus pegangan dalam jalur lebar MyRepublic, termasuk aset operasi utama dan jenamanya di Singapura.
StarHub memperoleh baki 49.9 peratus pegangan dalam jalur lebar MyRepublic, termasuk aset operasi utama dan jenamanya di Singapura. - Foto fail

StarHub mengumumkan pada 12 Ogos ia telah mengambil alih sepenuhnya perniagaan jalur lebar MyRepublic, langkah kedua dalam penggabungan besar syarikat telekomunikasi di Singapura dalam tempoh dua hari.

StarHub memperoleh baki 49.9 peratus pegangan dalam MyRepublic Broadband, termasuk aset operasi utama dan jenamanya di Singapura.

Dengan penjualan baki pegangan dalam perniagaan jalur lebar tersebut, MyRepublic mengekalkan perniagaan mudah alih maya yang bukan milik StarHub.

StarHub, yang disenarai di Bursa Singapura (SGX), memiliki pegangan kawalan 50.1 peratus dalam perniagaan jalur lebar MyRepublic sejak 2022.

Pembelian terkini merangkumi sekitar $94.3 juta bagi 49.9 peratus pegangan ekuiti, serta lebih $10.8 juta bagi pemerolehan aset dan jenama, lapor The Straits Times (ST).

Namun, jumlah $94.3 juta itu akan diimbangi dengan pinjaman sedia ada bernilai $74.2 juta yang diberikan StarHub kepada MyRepublic, dengan baki $31 juta akan dibayar secara beransur.

Pengumuman perjanjian dibuat sehari selepas Simba Telecom membeli syarikat telekomunikasi M1.

Pengamat pasaran sebelum ini menjangka StarHub yang akan mengambil langkah itu. 

Mengulas mengenai pembelian MyRepublic, StarHub dalam kenyataan pada 12 Ogos berkata: 

“Langkah ini mengukuhkan strategi berbilang jenama dan berbilang segmen StarHub dalam pasaran jalur lebar Singapura, sekali gus membuka peluang untuk mencipta nilai lebih tinggi melalui perkhidmatan yang berbeza dan gabungan rentas produk.”

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) StarHub, Encik Nikhil Eapen, berkata: 

“Kami sedang melalui fasa penggabungan dan kami bukan sekadar menyaksikannya berlaku, tetapi turut membentuknya.

“Apabila pasaran berubah, skala, mutu, dan ketahanan menjadi lebih penting daripada sebelum ini.

“Pemain lebih kecil mungkin menghadapi kesukaran untuk bertahan, terutama tanpa wadah yang kukuh.

“Peranan kami adalah untuk tampil menyediakan kebolehpercayaan, prestasi, dan ketekalan yang pelanggan layak terima, pada masa mereka sangat memerlukannya.”

StarHub mempunyai 577,000 pelanggan jalur lebar sehingga suku pertama 2025.

Saham StarHub naik 1.7 peratus ke $1.18 pada tengah hari 12 Ogos.

Saham Keppel, yang menjual perniagaan telekomunikasi M1 kepada Simba, jatuh 2.9 peratus ke $8.33.

Saham syarikat induk Simba yang tersenarai di Australia pula melonjak 28.7 peratus ke A$7.09 ($5.93).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg