Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suami isteri himpun karyawan reka bentuk Melayu/Islam kongsi ilmu, guna AI

Platform PEREKA buka ruang bincang usaha capai keseimbangan antara teknologi dengan kreativiti
Mar 27, 2025 | 5:49 PM
Pasangan suami isteri, Cik Zakiyah Zainal Abidin dan Encik Mohammed Muzammil Aziz,  merupakan pengasas kumpulan PEREKA sejak Februari 2024.
Pasangan suami isteri, Cik Zakiyah Zainal Abidin dan Encik Mohammed Muzammil Aziz, merupakan pengasas kumpulan PEREKA sejak Februari 2024. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dengan pengalaman lebih 14 tahun dalam bidang seni bina dan reka bentuk dalaman, pasangan suami isteri, Encik Mohammed Muzammil Aziz dan Cik Zakiyah Zainal Abidin, kededuanya 39 tahun, ingin menyumbang kepada masyarakat umum di luar sektor seni bina dan seni reka yang diceburi.

Menyedari kurangnya pereka kreatif Melayu/Islam di Singapura, pasangan ini berusaha memanfaatkan masa lapang mereka dengan menubuhkan kolektif dan platform PEREKA pada Februari 2024.

Platform yang menyatukan karyawan seni reka dalam usaha memupuk kesedaran tentang kepentingan rekaan yang baik serta kisah di sebalik setiap rekaan ini, dibuka untuk perkongsian ilmu dan pengalaman.

Sebagai seorang pensyarah dalam kursus reka bentuk di Politeknik Singapura (SP), Encik Muzammil, sering tertanya-tanya ke mana perginya lulusan Melayu/Islam selepas menamatkan pengajian.

“Saya berpeluang mengajar ramai pelajar berbakat, tetapi mereka tidak menampilkan bakat mereka selepas tamat pengajian dan sejak memasuki industri ini.

“Dengan itu, PEREKA dicipta untuk memberi ruang kepada pereka Melayu/Islam untuk berkongsi pengalaman dan memajukan diri dalam industri ini,” katanya.

Apa yang unik ialah sambil melaksanakan misi mereka dalam membentuk masyarakat kreatif, pasangan ini turut meneroka potensi Kecerdasan Buatan (AI) dalam memudahkan proses reka bentuk.

Antara inisiatif utama mereka ialah sesi perkongsian berupa bengkel yang dipanggil ‘PEREKA Bengkel’, satu wadah pembelajaran yang diketuai masyarakat pereka dan karyawan kreatif lain.

Inisiatif lain di bawah jenama PEREKA termasuk ‘PEREKA Kita’, ‘PEREKA Konsultasi’, ‘PEREKA Repositori’, dan ‘PEREKA Mentor’.

Dalam sesi bengkel yang diadakan setiap tiga bulan, pasangan ini juga meneroka bagaimana teknologi seperti AI boleh dimanfaatkan untuk mempermudah proses reka bentuk tanpa mengorbankan identiti dan keunikan sentuhan manusia.

“Penggunaan teknologi AI tidak patut dianggap sebagai satu ancaman meskipun ia semakin mempengaruhi dunia reka bentuk,” kata Cik Zakiyah, pensyarah sambilan dalam bidang Reka Bentuk Pengalaman Pengguna Ruang (UX) di SP.

Sebaliknya, pasangan tersebut berpendirian AI boleh membantu memperkasa sesebuah kerja seni dan dalam aspek tertentu tanpa mengurangkan keaslian sesebuah karya.

“Kami menggunakan AI dalam proses pemikiran reka bentuk, khususnya dalam menganalisis data pengguna dan menghasilkan konsep pada tahap awal.

“Namun, sentuhan manusia tetap penting. AI tidak dapat memahami emosi dan konteks budaya seperti manusia.

“Oleh itu, AI hanya digunakan untuk melengkapi proses reka bentuk, bukan menggantikannya, ” jelas Cik Zakiyah.

Ini termasuk, menggunakan AI sebagai satu sumber inspirasi walaupun keputusan akhir tetap memerlukan pemikiran dan pemahaman manusia.

“AI boleh membantu menjana idea, tetapi aspek emosi, budaya, dan konteks tetap perlu dikendalikan oleh pereka sendiri,” kata beliau.

Menurut Encik Muzammil pula, cabaran utama adalah bagaimana kelengkapan AI seperti SketchImage, DeepAI and ChatGPT, dapat diterima dalam industri.

Bersetuju dengan isterinya, beliau menambah AI harus dilihat sebagai alat yang memperkasa, bukan menggantikan kreativiti manusia.

“Seiring perkembangan teknologi, AI semakin membentuk cara pereka bekerja.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita menggunakan teknologi ini secara bijak untuk meningkatkan nilai reka bentuk kita,” katanya.

Bagi mereka, masa depan dunia reka bentuk terletak pada keseimbangan antara teknologi dengan kreativiti manusia.

“Dengan gabungan pemikiran inovatif dan peralatan moden, pereka Melayu/Islam boleh terus maju dan bersaing di peringkat global,” kata Encik Muzammil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg