Pengurus aset Singapura, Keppel, dan konglomerat Vietnam, Kumpulan Sovico, sedang membincangkan rancangan berhubung kabel optik dasar laut baru yang akan mengembangkan industri pusat data di rantau ini, kata sumber yang mengetahui tentang perbincangan tersebut.
Negara-negara Asia Tenggara, yang merupakan persimpangan utama bagi kabel yang menghubungkan Asia ke Eropah, sedang berusaha mengembangkan rangkaian mereka untuk memenuhi permintaan pesat bagi perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Vietnam merancang mempunyai 10 kabel dasar laut baru menjelang 2030.
Kabel dasar laut menjadi tumpuan dalam persaingan teknologi antara China dengan Amerika Syarikat, yang menyaksikan kedua-dua negara bersaing untuk membina dan menyelenggara prasarana penting yang membawa data Internet, termasuk maklumat sensitif.
Salah satu rancangan ialah meletakkan kabel yang menghubungkan Vietnam terus ke Singapura.
Kos projek itu dianggarkan AS$150 juta ($202 juta), menurut salah seorang sumber yang mengetahui tentang perbincangan tersebut.
Pilihan itu lebih disukai oleh Sovico, tetapi perbincangan bersama Keppel mengenai kabel langsung tersebut masih dalam peringkat rundingan dan tiada persetujuan dicapai setakat ini. Keppel lebih memilih pelan kabel lebih besar, melibatkan gabungan beberapa pelabur.
Dalam pelan kedua, sambungan ke Vietnam oleh Sovico akan menjadi cabang dari kabel lebih panjang, menghubungkan Singapura ke Jepun, serta negara lain sepanjang laluan tersebut.
Sovico, yang terlibat dalam pelbagai industri seperti penerbangan dan perbankan, baru-baru ini mengumumkan rancangan pembangunan pusat data.
Pada November, Keppel bersetuju membeli kemudahan pusat data yang siap untuk AI di Jepun.
Singapura hab utama bagi pusat data dan kabel dasar laut, tetapi kapasiti penggunaan datanya hampir mencapai had maksimum.
Seorang eksekutif Sovico menyebut rancangan kabel bersama Keppel dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh, dan syarikat lain yang terlibat dalam ekonomi digital.
Belum ada keputusan mengenai siapakan yang akan membina kabel itu, namun sumber berkata kontraktor China tidak akan terlibat dalam sambungan langsung antara Vietnam dengan Singapura.
Sovico diberi taklimat oleh pegawai Amerika mengenai risiko memilih kontraktor China bagi kabel tersebut.
Amerika telah mengadakan beberapa taklimat bersama Vietnam dan Singapura untuk menghalang penggunaan HMN Technologies, sebagai usaha mengehadkan pengaruh China.
Kedua-dua projek itu berbeza daripada pelaburan yang diumumkan sebelum ini oleh syarikat Vietnam dalam empat kabel dasar laut baru, iaitu dua akan dibina oleh NEC dari Jepun; dan satu oleh HMN Tech dari China, untuk menghubungkan Vietnam dengan kabel antarabangsa sedia ada.
Projek keempat diumumkan pada April oleh syarikat telekomunikasi milik pemerintah Vietnam, Viettel, dan Singtel dari Singapura, yang akan menghubungkan Vietnam terus ke Singapura melalui pelan awal. Tiada kontrak pembinaan diumumkan setakat ini.
Vietnam, yang mempunyai jumlah penduduk hampir 100 juta, merupakan pasaran besar untuk wadah dalam talian, tetapi kini hanya dihubungkan kepada prasarana Internet sejagat melalui lima sambungan dasar laut kepada kabel antarabangsa.
Rancangan menggandakan jumlah kabel itu dilihat oleh pakar industri sebagai peluang untuk Vietnam menjadi hab pusat data serantau alternatif, meskipun ia menghadapi isu bekalan tenaga dan peraturan data yang ketat. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg