Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) Singapura telah melancarkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan piawaian terjemahan Singapura, dan antaranya, telah membentuk sebuah Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan baru untuk mengenal pasti cara untuk melestarikannya.
Kumpulan kerja itu akan diketuai bersama oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. Ia akan meninjau landskap terjemahan Singapura, menyemak program pensijilan sedia ada, dan mengenal pasti individu yang berpotensi untuk berkhidmat sebagai piawaian nasional.
NTC juga akan membentuk sebuah Panel Penasihat Teknologi Penterjemahan untuk memberikan pandangan strategik tentang trend baru muncul, amalan terbaik dan pembangunan teknologi, serta menyemak dan melancarkan SG Translate 2.0.
Inisiatif-inisiatif tersebut diumumkan oleh Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, di Persidangan Ulang Tahun Ke-10 NTC pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.
“Inisiatif-inisiatif ini akan mewujudkan persekitaran yang dinamik dan kolaboratif yang memajukan kualiti terjemahan, meningkatkan kebolehcapaian awam dan menyokong masyarakat berbilang bahasa Singapura.
“Di samping kita memasuki bab seterusnya dalam perjalanan ini, kita terus komited untuk memajukan lagi kecemerlangan terjemahan merentas tonggak teknologi, pembangunan bakat dan penglibatan masyarakat,” kata Encik Tan.
Beliau menambah Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan yang baru dilancar itu akan juga mengkaji rangka kerja pensijilan industri rakan sejawatan asing sebagai rujukan dan membentangkan cadangannya kepada NTC.
Selain Encik Zhulkarnain, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, kumpulan kerja itu juga akan diketuai bersama Profesor Madya Susan Xu dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Encik Zhulkarnain berkata kumpulan kerja ini akan meninjau cara-cara untuk meningkatkan taraf penterjemahan di Singapura, terutama dalam bahasa Melayu.
“Kumpulan kerja ini bertujuan memberi saranan-saranan setelah mendapat maklum balas daripada semua pihak yang berminat pada tahun depan.
“Saya mengalu-alukan semua pihak berkepentingan untuk tampil agar saranan mereka dapat diterapkan,” kata Encik Zhulkarnain.
NTC mula ditubuh pada 2014 untuk menangani isu terjemahan, termasuk keperluan untuk meningkatkan piawaian terjemahan merentas perkhidmatan awam.
Ini bagi memastikan komunikasi dari pemerintah dapat mencapai semua rakyat Singapura dengan cara yang berkesan, termasuk golongan rakyat yang tidak mahir berbahasa Inggeris.
Sehingga kini, Encik Tan berkata NTC telah merekrut lebih 2,500 penterjemah, yang digelar Penterjemah Kita, dari kalangan usia 15 hingga 88 tahun, yang telah menyumbang kepada usaha penterjemahan di seluruh Singapura.
Ini termasuk menyediakan sokongan asas bagi usaha pemerintah untuk memelihara dan mempromosikan kepelbagaian linguistik Singapura.
Mengulas tentang penubuhan Panel Penasihat Teknologi Penterjemahan baru itu, Encik Tan berkata panel tersebut akan membantu NTC mengikuti perkembangan terkini dalam ruang teknologi terjemahan dan berkongsi pandangan mereka untuk menggalak penggunaan teknologi terjemahan yang lebih meluas di dalam industri.
Dalam ucapannya juga, Encik Tan berkata NTC turut berhasrat menyemak wadah SG Translate dan merancang untuk melancarkan SG Translate 2.0.
SG Translate adalah enjin terjemahan mesin saraf yang dibangunkan oleh Sekretariat NTC dan A*Star untuk memenuhi keperluan terjemahan bagi komunikasi pemerintah.
Ia kemudiannya diperluaskan melalui SG Translate Together, portal web sehenti yang membolehkan orang ramai mengakses SG Translate serta sumber terjemahan lain.
Sejak pelancarannya, Encik Tan berkata SG Translate Together telah menarik lebih 269,000 kunjungan, dan menjana lebih daripada 20,000 purata terjemahan setiap bulan.
“Kita menjangkakan SG Translate 2.0 akan memanfaatkan kuasa model bahasa besar atau large language model (LLM) untuk meningkatkan ketepatan kontekstual dan keberkesanan terjemahan.
“Pengguna, daripada kalangan karyawan penterjemahan kepada penterjemah warganegara kita akan mendapat manfaat daripada terjemahan yang lebih baik, lebih pantas dan lebih tepat,” kata Encik Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg