Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kumpulan kerja, panel penasihat dilancar tingkat piawaian terjemahan negara

AP Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dilantik pimpin bersama Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan.
Nov 15, 2024 | 2:35 PM
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berucap di Persidangan Ulang Tahun Ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, berucap di Persidangan Ulang Tahun Ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura. - Foto BH oleh KHALID BABA

Satu Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan baru di bawah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dilancar dengan tujuan mengenal pasti cara meningkatkan piawaian terjemahan di Singapura.

Dipimpin bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, kumpulan kerja itu akan meninjau landskap terjemahan Singapura, menyemak program pensijilan sedia ada, dan mengenal pasti individu yang berpotensi untuk berkhidmat sebagai piawaian nasional.

Inisiatif tersebut diumumkan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, di Persidangan Ulang Tahun Ke-10 Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.

Semasa ucapannya, Encik Tan berkata walaupun NTC mencapai kemajuan yang baik dalam mengembangkan kumpulan penterjemah profesional, pemerintah mengiktiraf masih terdapat jurang dalam piawaian industri dan pensijilan di Singapura.

“Kumpulan kerja ini akan membuat tinjauan stok landskap terjemahan Singapura, menyemak program pensijilan sedia ada dan mengkaji rangka kerja pensijilan industri rakan sejawatan asing kita sebagai rujukan.

“Setelah kajian ini selesai, kumpulan kerja ini akan bentangkan cadangannya kepada NTC,” kata Encik Tan.

Selain Encik Zhulkarnain, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, kumpulan kerja itu juga akan diketuai bersama Profesor Madya Susan Xu dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Encik Zhulkarnain berkata kumpulan kerja ini akan meninjau cara-cara untuk meningkatkan taraf penterjemahan di Singapura, terutama dalam bahasa Melayu.

“Kumpulan kerja ini bertujuan memberi saranan-saranan setelah mendapat maklum balas daripada semua pihak yang berminat pada tahun depan.

“Saya mengalu-alukan semua pihak berkepentingan untuk tampil agar saranan mereka dapat diterapkan,” kata Encik Zhulkarnain.

Anggota Parlimen (AP) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, telah dilantik untuk memimpin bersama Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan.
Anggota Parlimen (AP) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, telah dilantik untuk memimpin bersama Kumpulan Kerja Industri Penterjemahan. - Foto BH oleh KHALID BABA

NTC mula ditubuh pada 2014 untuk menangani isu terjemahan, termasuk keperluan untuk meningkatkan piawaian terjemahan merentas perkhidmatan awam.

Ini bagi memastikan komunikasi dari pemerintah dapat mencapai semua rakyat Singapura dengan cara yang berkesan, termasuk golongan rakyat yang tidak mahir berbahasa Inggeris.

Encik Tan berkata NTC telah merekrut lebih 2,500 penterjemah, yang digelar Penterjemah Kita, dari kalangan usia 15 hingga 88 tahun, yang telah menyumbang kepada usaha penterjemahan di seluruh Singapura.

Ini termasuk menyediakan sokongan asas bagi usaha pemerintah untuk memelihara dan mempromosikan kepelbagaian linguistik Singapura.

Pelancaran kumpulan kerja tersebut adalah sebahagian daripada tonggak “Bakat” - yang merupakan salah satu daripada tiga tonggak, selain “Teknologi” dan “Komuniti” yang dikenal pasti oleh NTC pada Mei.

Ketiga-tiga tonggak itu telah dikenal pasti oleh pihak berkepentingan MDDI dari seluruh ekosistem penterjemah semasa sesi pelan kerjanya sebagai bidang-bidang tumpuannya untuk dekad seterusnya.

Di bawah tonggak “Teknologi”, Encik Tan juga mengumumkan penubuhan sebuah Panel Penasihat Teknologi Penterjemahan baru yang akan memberikan pandangan strategik tentang trend baru muncul, amalan terbaik dan pembangunan teknologi dalam teknologi terjemahan kepada NTC.

“Panel itu akan membantu NTC untuk terus mengikuti perkembangan terkini dalam ruang teknologi terjemahan.

Pandangan daripada panel juga akan memaklumkan strategi kita untuk menggalak penggunaan teknologi terjemahan yang lebih meluas oleh industri.

“Panel juga mungkin boleh mencadangkan cara untuk NTC menjadikan teknologi terjemahan lebih mudah diakses oleh rakyat Singapura,” kata Encik Tan.

Dalam ucapannya juga, Encik Tan berkata NTC turut berhasrat menyemak wadah SG Translate dan merancang untuk melancarkan SG Translate 2.0.

SG Translate adalah enjin terjemahan mesin saraf yang dibangunkan oleh Sekretariat NTC dan A*Star untuk memenuhi keperluan terjemahan bagi komunikasi pemerintah.

Ia kemudiannya diperluaskan melalui SG Translate Together, portal web sehenti yang membolehkan orang ramai mengakses SG Translate serta sumber terjemahan lain.

Sejak pelancarannya, Encik Tan berkata SG Translate Together telah menarik lebih 269,000 kunjungan, dan menjana lebih daripada 20,000 purata terjemahan setiap bulan.

“Kita menjangkakan SG Translate 2.0 akan memanfaatkan kuasa model bahasa besar atau large language model (LLM)  untuk meningkatkan ketepatan kontekstual dan keberkesanan terjemahan.

“Pengguna, daripada kalangan karyawan penterjemahan kepada penterjemah warganegara kita akan mendapat manfaat daripada terjemahan yang lebih baik, lebih pantas dan lebih tepat,” kata Encik Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg