Meskipun perkembangan pantas penggunaan kecerdasan buatan (AI) telah mencetuskan kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan, beberapa syarikat teknologi kewangan atau fintech di Singapura sebaliknya meningkatkan pengambilan pekerja disebabkan teknologi berkenaan.

Langkah peluasan perniagaan turut mendorong pertambahan tenaga kerja, dengan syarikat-syarikat tersebut menyatakan bahawa pengambilan bakat yang sesuai – terutamanya mereka yang berkebolehan memanfaatkan AI – adalah kunci utama.

Syarikat yang diasaskan di Australia, Airwallex, contohnya, merancang untuk meningkatkan lebih 70 peratus bilangan pekerjanya di Singapura berbanding tempoh sama pada 2025, kepada hampir 800 orang menjelang akhir 2026.

Syarikat itu buat masa ini mempunyai hampir 700 pekerja tetap.

Airwallex berhasrat mengisi jawatan terutamanya dalam bidang produk, kejuruteraan dan reka bentuk, selain peranan lain seperti pengurusan operasi, jualan serta kewangan.

Singapura menjadi pusat bagi syarikat berkenaan membangunkan produk AI bagi pelanggan, seperti dompet berejen (agentic wallet) serta alatan AI dalaman untuk meningkatkan daya penghasilan dan kecekapan perniagaan.

Dompet berejen merujuk kepada teknologi yang membolehkan ejen AI membuat pembelian bagi pihak pengguna mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“AI mencorak kisah dalaman dan luaran (syarikat) dari segi apa yang boleh kami bangunkan serta bagaimana kami boleh meluaskan skala perniagaan kami,” kata Naib Presiden Bakat dan Sumber Manusia Global Airwallex, Encik Richard Yan.

Mempunyai pejabat di serata dunia termasuk Singapura, Airwallex membantu perniagaan menguruskan operasi kewangan global mereka menerusi satu platform – merangkumi akaun pelbagai mata wang, pemindahan dana antarabangsa, kad korporat, pengurusan perbelanjaan, dan pembayaran dalam talian.

Di Singapura, Airwallex melaporkan peningkatan pendapatan sebanyak 107 peratus bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mencatat pertumbuhan tiga angka bagi tahun kedua berturut-turut.

Sementara itu, bilangan tenaga kerja syarikat pembayaran global Revolut Singapura hampir berlipat ganda – atau meningkat 95 peratus – dari 2024 hingga 2025.

Syarikat berkenaan merancang untuk mengekalkan momentum ini, dengan sasaran menambah tenaga kerjanya kepada lebih 300 pekerja dalam tempoh tiga tahun akan datang, berbanding 168 orang buat masa ini.

Jawatan kosong di Revolut merangkumi bidang produk dan reka bentuk, selain risiko, pematuhan serta audit.

“Singapura ialah hab utama bagi peluasan perniagaan kami di Asia, membolehkan kami membangunkan dan meluaskan skala produk yang menyokong impian kami untuk memberi khidmat kepada 100 juta pelanggan di serata dunia,” kata Ketua Sumber Manusia Revolut bagi Asia-Pasifik, Encik Ryan Park.

Perkembangan ini menyusuli peningkatan lebih 20 peratus dalam pangkalan pelanggan runcit Revolut Singapura, manakala pangkalan pelanggan perniagaannya melonjak lima kali ganda pada 2025.

Nilai urus niaga domestik syarikat berkenaan meningkat lebih 30 peratus, manakala bilangan urus niaga domestik melonjak kira-kira 25 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Revolut berkata AI tidak digunakan sebagai alat berasingan, sebaliknya sebagai keupayaan yang semakin diterapkan dalam kaedah pembangunan produk, perkhidmatan pelanggan dan operasi perniagaan.

“Terdapat tanggapan bahawa AI akan mengurangkan keperluan tenaga kerja, namun kami sebaliknya melihat perkara bertentangan – iaitu AI meningkatkan permintaan kami terhadap bakat,” kata Encik Park.

“Dengan mengautomasikan tugasan pentadbiran dan tugasan berulang, AI memberi ruang kepada pekerja kami untuk menumpukan perhatian kepada tugasan lebih bernilai yang memerlukan pertimbangan, kreativiti, keupayaan penyelesaian masalah serta kepakaran mendalam.

“Ia juga membolehkan pasukan kami mengendalikan lebih banyak projek, yang seterusnya memerlukan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi,” tambah beliau.