Syarikat kecil dan sederhana (SME) berpeluang meraih manfaat daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Antara lain, ia termasuk seperti sumber tenaga pekerja yang lebih luas, penjimatan kos operasi, peraturan dan undang-undang kastam lebih lancar, serta prasarana lebih kukuh untuk mengembangkan skala pengeluaran di Johor Bahru dengan lebih mudah.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata demikian semasa ucapannya dalam sesi perbincangan panel mengenai JS-SEZ pada pagi 18 September di Asia Tower Square 2.
“Kekuatan Singapura terletak pada pemerintah yang stabil, keadaan politik yang kukuh, sektor kewangan yang mantap serta proses pengantaraan lancar.
“Namun begitu, kami juga mempunyai keterbatasan seperti kekurangan tanah dan sumber asli.
“Oleh itu, tanah dan sumber asli di Johor akan memainkan peranan penting untuk melengkapi kekuatan Singapura,” katanya.
Sesi itu dianjurkan oleh firma perakaunan KPMG Singapura dan Dewan Perniagaan Britain.
JS-SEZ adalah kerjasama antara Singapura dengan Johor Bahru untuk melengkapi satu sama lain bagi meningkatkan daya saing ekonomi secara keseluruhan.
Antara topik utama yang diketengahkan oleh beberapa karyawan ekonomi termasuk dalam membantu memperkasa SME bagi meraih peluang daripada JS-SEZ.
Karyawan dalam JS-SEZ, rakan kongsi kumpulan pasaran modal KPMG di Singapura, Encik Yap Wee Kee, mengetengahkan pendekatan Singapura Plus (SG+) dalam pengurusan JS-SEZ.
“Pendekatan SG+ memberi peluang kepada syarikat-syarikat mengembangkan skala pengeluaran, menjimatkan kos dan mengakses sumber bakat…
“Syarikat-syarikat ini mampu mengembangkan operasi pengilangan dan logistik sambil menjamin hubungan erat dengan hab inovasi dan perdagangan Singapura,” katanya.
Namun, Encik Yap berkata proses itu lebih sukar dilaksanakan oleh syarikat kecil yang “mungkin kekurangan kemahiran atau keupayaan berbanding dengan syarikat besar yang berkeupayaan mengharungi cabaran merentas sempadan”.
Dalam pada itu, Encik Yap menambah, industri pengilangan makanan, kejuruteraan jitu dan baik pulih dan operasi (MRO) bakal meraih paling banyak manfaat daripada kemudahaan JS-SEZ tersebut.
“Industri peralatan terperinci memerlukan jumlah tenaga pekerja yang tinggi…
“Terdapat beberapa SME yang meneroka penggunaan robotik dalam proses pengilangan, tetapi pendekatan itu tetap memerlukan ruang dan tapak yang luas,” jelas Encik Yap ketika menemui pihak media selepas sesi perbincangan.
Industri pengilangan makanan yang terletak di Singapura turut boleh menjimatkan kos dengan mengilang bahan beku di Johor Bahru untuk dibawa masuk ke Singapura.
Namun begitu, Encik Yap berkata sistem sokongan tambahan perlu diwujudkan untuk meyakinkan SME yang masih ragu-ragu untuk menyertai JS-SEZ.
Ini memandangkan mereka menghadapi cabaran dan risiko lebih besar untuk mengembangkan perniagaan di Johor Bahru.
“Segolongan SME yang sudah lama beroperasi enggan menceburi JS-SEZ kerana pernah mengalami kerugian dalam inisiatif merentas sempadan dahulu,” kata Encik Yap.
Ini merujuk kepada inisiatif Iskandar Malaysia 2006, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor logistik, ekonomi dan kewangan.
Terdapat juga usaha Sijori, sebuah percubaan untuk memanfaatkan daya saing Singapura, Johor Bahru dan Pulau-Pulau Riau Indonesia pada 1990.
“Saya rasa kami perlu meyakinkan SME sebegini bahawa prasarana yang sedia ada serta pentadbiran perniagaan yang lancar akan memudahkan proses mengembangkan perniagaan (masing-masing ke JS-SEZ),” jelas Encik Yap.
Beliau menambah bahawa golongan SME baru, yang lebih berani menyahut langkah mengembang operasi ke Johor Bahru, perlu dilengkapi dengan sokongan kukuh daripada syarikat berbilang negara (MNC).
“SME perlu bekerjasama dengan MNC untuk tumbuh secara berkesan… hubungan antara SME dengan MNC mampu membina peluang untuk syarikat kecil mengembangkan operasi masing-masing dan meraih manfaat daripada ekosistem perniagaan dan kepakaran syarikat lebih besar,” jelas Encik Yap.
Beliau memberi contoh bahawa SME perlu melancarkan operasi di samping industri yang sudah kukuh, seperti pelbagai SME yang beroperasi di samping industri pengilangan semikonduktor yang terkenal di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Encik Tan berkata: “Kami akan terus bekerjasama dengan Malaysia, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri, untuk memperkukuh nilai keseluruhan yang ditawarkan oleh JS-SEZ.”
Antaranya termasuk pembinaan Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) pada 2026 dan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang membolehkan warga Singapura melepasi imigresen tanpa pasport dari 22 September 2025 hingga 28 Februari 2026.
Terdapat juga pelancaran Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) yang bertujuan membimbing usahawan di seluruh negeri-negeri Malaysia dan agensi-agensi persekutuan.
Di samping itu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Enterprise Singapura melancarkan pejabat gabungan untuk menyokong syarikat-syarikat yang berpusat di Singapura dan berminat untuk berkembang ke JS-SEZ.
“Melalui inisiatif-inisiatif ini, kami berhasrat membina asas yang kukuh secara berperingkat untuk meredakan ketidaktentuan dan membantu (syarikat) mengharungi cabaran ketika memasuki pasaran baru,” tambah Encik Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg