Minggu Johor yang berlangsung di Expo Osaka 2025 dari 15 hingga 18 September menjadi wadah penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa serta mempromosikan potensi pelaburan hijau dan pembangunan mampan di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Encik Natazha Harris, berkata pelancaran Minggu Johor pada 15 September membuka tirai kepada pelbagai program strategik.
“Antaranya termasuk sesi padanan perniagaan pada 16 September yang melibatkan syarikat Jepun yang menyatakan minat melabur di Johor.
“Pada 17 September pula, seminar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diadakan di Tokyo, manakala pada 18 September berlangsung sesi perbincangan mengenai pembangunan mampan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) serta majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Kelestarian Johor dengan Bandaraya Saitama,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut beliau, rangka lawatan itu akan membuka lebih banyak peluang kerjasama, perkongsian pengetahuan dan pelaburan ke arah menjadikan Johor sebagai destinasi ekonomi hijau serta berdaya saing di rantau ini.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Noorazam Osman, pula berkata Minggu Johor di Expo Osaka mencerminkan cita-cita negeri itu untuk tampil sebagai hab yang berhubung secara global melalui JS-SEZ.
“Dengan mengetengahkan peluang pelaburan yang telah sedia untuk diterokai, kita menjemput dunia untuk bekerjasama membentuk masa depan yang mampan, berdaya saing dan terangkum,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata beliau bersama Penasihat Ekonomi Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, serta delegasi Invest Johor dan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFCJ) telah mengadakan perbincangan khusus secara bersemuka dengan empat syarikat Jepun yang menunjukkan minat serius untuk melabur di Johor.
“Syarikat tersebut merangkumi sektor strategik dan berimpak tinggi iaitu peranti perubatan, farmaseutikal dan suplemen kesihatan, pembuatan berteknologi maju serta produk makanan dan bahan kimia.
“Minat ini membuktikan Johor terus dilihat sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini, hasil kestabilan politik, prasarana bertaraf dunia serta dasar mesra pelabur di bawah kepimpinan Menteri Besar dan sokongan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Encik Lee menambah bahawa setiap pertemuan bukan sahaja membuka peluang pelaburan baru, malah mengukuhkan lagi hubungan dua hala Johor-Jepun yang telah lama terjalin.
“Syarikat Jepun terkenal dengan kepakaran teknologi, budaya kerja berdisiplin serta kesungguhan membangunkan rantaian bekalan.
“Gabungan kelebihan ini dengan ekosistem Johor akan melonjakkan nilai tambah kepada ekonomi negeri, menyediakan lebih banyak pekerjaan baru dan meningkatkan pemindahan teknologi kepada tenaga tempatan.
“Kami yakin hasil pertemuan ini akan diterjemahkan kepada projek berimpak tinggi yang bakal diumumkan kelak, sejajar dengan agenda Maju Johor 2030 serta hala tuju JS-SEZ,” katanya.
Beliau menegaskan, Minggu Johor di Expo Osaka bukan sekadar pameran, sebaliknya satu platform nyata untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, memperluas peluang pelaburan, dan menjadikan Johor terus bersinar di pentas dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg