Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor yakin tarik pelaburan Jepun menerusi JS-SEZ, sasar projek impak tinggi

Sep 18, 2025 | 11:54 AM
Malaysia, Johor, pelaburan, Jepun, JS-SEZ
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, ketika berucap semasa Seminar Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Tokyo, Jepun. - Foto FACEBOOK LEE TING HAN

Johor yakin kerjasama strategik bersama syarikat besar Sumitomo Mitsui Banking Corporation (SMBC) akan memperkukuh hubungan dengan pelabur Jepun itu serta membuka laluan kepada modal, teknologi dan rangkaian sejagat yang dapat mempercepat pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata peranan SMBC amat penting kerana ia bukan sekadar penganjur bersama seminar pelaburan di Tokyo, malah bertindak sebagai jambatan mempertemukan Johor dengan masyarakat perniagaan Jepun.

“Seminar ini berjaya menarik penyertaan 60 syarikat Jepun yang ingin memahami lebih mendalam tentang potensi besar yang ditawarkan Johor melalui JS-SEZ, prasarana bertaraf dunia serta kemudahan pelaburan oleh Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia-Johor (IMFCJ),” katanya semasa berucap pada Seminar SMBC JS-SEZ di Tokyo pada 17 September.

Menurut beliau, Johor ingin menegaskan tiga mesej utama.

Negeri itu sedang pesat membangun dengan asas ekonomi yang kukuh dan lokasi strategik di tengah Asean; menawarkan peluang baru melalui JS-SEZ dengan kemudahan pantas di IMFCJ; serta amat menghargai kerjasama jangka panjang bersama Jepun.

Encik Lee turut menekankan Jepun merupakan antara rakan pelabur terpenting Johor sejak sekian lama.

“Melalui gabungan kepakaran teknologi dan budaya kerja Jepun dengan ekosistem Johor, lebih banyak projek berimpak tinggi akan terhasil, sekali gus membuka peluang pekerjaan baru dan meningkatkan pemindahan teknologi kepada bakat tempatan,” katanya.

Beliau juga berkongsi bahawa Johor merekodkan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) 6.4 peratus pada 2024, tertinggi di Malaysia.

Pada separuh pertama 2025 sahaja, Johor berjaya menarik pelaburan tertinggi dalam Malaysia bernilai RM56 bilion ($17 bilion).

“Johor kini menjadi kuasa pelaburan Malaysia dengan kekuatan logistik bertaraf dunia, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Port, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai serta jaringan lebuh raya yang berkesan.

“Negeri ini juga sedang muncul sebagai hab data serantau dengan 42 projek pusat data bernilai RM164 bilion yang telah diluluskan,” ujarnya.

JS-SEZ pula, jelas beliau, adalah pemacu utama masa depan Johor yang akan menyatukan kekuatan tenaga kerja dan tanah dengan modal serta inovasi Singapura.

Johor menyasarkan sekurang-kurangnya 50 projek dan 20,000 pekerjaan mahir dalam tempoh lima tahun pertama.

Antara pelabur Jepun yang sudah menjejakkan kaki di Johor ialah NTT Data dengan projek pusat data mega di Gelang Patah; Ferrotec dalam sektor bahan semikonduktor di Pasir Gudang; NEC dengan pusat operasi keselamatan siber di Iskandar Puteri; serta Fuji Oil yang bekerjasama dengan Johor Plantation Group membangunkan kilang penapis minyak sawit berasaskan tenaga biojisim di Sedili.

“Johor bukan sahaja terbuka untuk perniagaan, malah bersedia memainkan peranan lebih besar dalam masa depan ekonomi Asia.

“Kami menjemput pelabur Jepun datang sendiri ke Johor untuk melihat potensi ini,” tambah Encik Lee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg