Syarikat khidmat kereta sewa privet (PHC), Lumens, telah menamatkan pajakan lebih awal bagi sekitar 100 penyewa sejak November 2025, dengan kenderaan dipulangkan kepada syarikat berkenaan.
Seorang jurucakap Lumens memberitahu The Business Times (BT) langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap sebilangan pemandu yang menyalahgunakan insentif bahan api yang disediakan syarikat.
Namun, Lumens menegaskan tidak semua pemandu terlibat dalam amalan tersebut.
“Punca utama adalah penyalahgunaan pakej sewa kami, apabila sebilangan penyewa menemui kelemahan dalam sistem yang menyebabkan mereka membayar kadar sewa lebih rendah daripada kadar pasaran,” katanya.
Isu itu dikesan pada September 2025 dan penyewa dimaklumkan mengenai perubahan pada pakej sewa mereka pada Oktober 2025.
Jurucakap itu menambah: “Menyusuli itu, kami menjalankan semakan dan mendapati beberapa kes yang mungkin melibatkan penjualan tidak wajar oleh bekas kakitangan jualan kami.
“Terdapat juga penamatan kontrak berikutan perkara tersebut dan kami telah memaklumkan semua penyewa yang terlibat.”
Beliau berkata mereka yang memutuskan untuk tidak meneruskan pajakan dengan Lumens telah sama-sama bersetuju menamatkan kontrak lebih awal dengan syarikat itu.
Lumens menawarkan insentif bahan api berdasarkan jarak perjalanan bagi setiap tempahan kenderaan yang dilakukan.
Insentif tersebut hanya diberikan kepada penyewa utama dan bertujuan menggalakkan mereka menerima serta melaksanakan lebih banyak perjalanan.
Namun, sebilangan pemandu menggunakan khidmat pemandu tambahan untuk menjalankan perjalanan bagi pihak mereka dan kemudian menuntut insentif.
Ini menyebabkan tuntutan petrol mereka mencecah sehingga $2,700, hampir tiga kali ganda bil bahan api biasa untuk PHC Lumens.
Beberapa pemandu juga menuntut insentif bagi perjalanan peribadi ke Malaysia.
Lazimnya, harga sewa bagi sebuah PHC bermula daripada $2,000 sebulan.
Lumens enggan mengulas sama ada ia akan menjual kenderaan yang terlibat.
“Kami menjual kereta kami dalam jumlah terhad setiap tahun bagi tujuan pembaharuan kenderaan tahunan,” kata jurucakap itu, tanpa mengulas lanjut.
Syarikat itu berkata kontrak sewa mungkin meningkat dari masa ke masa disebabkan pelbagai faktor, termasuk premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), serta kos kenderaan dan penyelenggaraan.
Lumens menekankan ia tidak menghadapi sebarang kesukaran pada masa ini.
“Operasi kami berjalan seperti biasa, dan kami mempunyai hubungan baik dengan pemberi pinjaman, yang menyokong syarikat mantap dengan model perniagaan yang berdaya maju,” kata wakil syarikat itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg