Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOT: Skim teksi rentas sempadan S’pura-Johor sedang disemak

Aug 21, 2025 | 6:34 PM
Singapura, teksi, rentas sempadan, Kementerian Pengangkutan, MOT, penumpang
Kementerian Pengangkutan (MOT) menggesa penumpang agar terus menggunakan teksi berlesen untuk perjalanan rentas sempadan kerana hanya teksi ini yang mempunyai perlindungan insurans yang sah.  - Foto fail

Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji penambahbaikan Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) bagi menangani permintaan penghantaran penumpang dari tempat ke tempat merentasi sempadan antara Singapura dengan Johor, yang meningkat.

Berkata demikian kepada Berita Harian (BH), seorang jurucakap MOT berkata apabila pegawai dari Singapura dan Malaysia bertemu bagi membincangkan aturan perkhidmatan rentas sempadan, isu membenarkan perkhidmatan tersebut telah dibangkitkan. Namun tiada keputusan dibuat.

“Kami sedang menyemak penambahbaikan pada CBTS untuk menangani permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan (penghantaran) tempat ke tempat merentasi sempadan secara lebih mudah.

“Adalah salah bagi kereta sewa privet atau PHC yang didaftarkan di Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan rentas sempadan atau ride-hail di Singapura.

“Di bawah Akta Lalu lintas Jalan raya (RTA), semua kenderaan, termasuk kenderaan berdaftar asing, mesti mempunyai Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) yang sah untuk menyediakan perkhidmatan teksi atau PHC,” kata MOT ketika dihubungi pada 20 Ogos.

BH sebelum ini melaporkan Malaysia bersedia meningkatkan ketersambungan rentas sempadan antara Johor dengan Singapura, termasuk melalui perkhidmatan e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) rentas sempadan, namun ini hanya boleh direalisasikan sekiranya kededua negara bersetuju.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata Malaysia berharap dapat meneruskan perbincangan dengan Singapura bagi pelaksanaan perkhidmatan pengangkutan e-hailing rentas sempadan antara Johor dengan Singapura.

Beliau bercakap demikian pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada 18 Ogos.

Encik Loke menambah cadangan pelaksanaan perkhidmatan pengangkutan e-hailing rentas sempadan pernah dibangkitkannya kepada mantan Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Chee Hong Tat, bagaimanapun Singapura pada ketika itu belum bersedia untuk berbincang lanjut mengenainya.

“Kita harap boleh teruskan perbincangan dan harap ini dapat disambut oleh pihak Singapura untuk mengangkat idea ini menjadi realiti,” kata Encik Loke.

Dalam pada itu, MOT menggesa penumpang agar terus menggunakan teksi berlesen untuk perjalanan rentas sempadan kerana hanya teksi ini yang mempunyai perlindungan insurans yang sah.

“Insurans perjalanan atau kemalangan diri juga tidak mungkin melindungi insiden yang melibatkan perjalanan dalam kenderaan tidak berlesen.

“LTA akan terus menguatkuasakan pencegahan terhadap perkhidmatan tempat ke tempat yang menyalahi undang-undang untuk menjaga keselamatan penumpang dan mata pencarian pemandu berlesen,” tambah MOT.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg