Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta sewa privet dibeli sebelum 19 Feb boleh dijual, disewa lebih murah

Feb 22, 2025 | 6:27 PM
Syarikat yang telah membeli kereta untuk perkhidmatan sewa atau ‘e-hailing’ sebelum 19 Februari, boleh menjualnya semula kepada individu sebagai kereta persendirian.
Syarikat yang telah membeli kereta untuk perkhidmatan sewa atau ‘e-hailing’ sebelum 19 Februari, boleh menjualnya semula kepada individu sebagai kereta persendirian. - Foto fail

Syarikat yang telah membeli kereta untuk perkhidmatan sewa atau e-hailing sebelum 19 Februari boleh menjualnya semula kepada individu sebagai kereta persendirian.

Larangan tiga tahun untuk kereta sewa privet (PHC) itu hanya melibatkan kereta baru atau yang baru didaftarkan mulai 19 Februari 2025, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

Dengan peraturan baru itu, kereta berkenaan mesti kekal diklasifikasikan sebagai kereta sewa privet dan boleh dipindahkan hanya kepada perniagaan lain dan bukan kepada individu, lapor The Straits Times.

Ketika ditemui di majlis perasmian Pusat Pembelajaran Toa Payoh kelolaan Persatuan Disleksia Singapura (DAS) pada 22 Februari, Encik Chee berkata:

“Semua kereta yang syarikat sudah beli, dengan mengandaikan bahawa mereka mempunyai lebihan bekalan, boleh dijual atau disewakan seperti menurunkan sewa kepada pemandu.”

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memperkenalkan peraturan untuk menstabilkan bekalan kenderaan yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada penumpang.

LTA berkata ia akan memastikan syarikat yang memperoleh kenderaan sedemikian menyewakannya kepada pemandu yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan.

Peraturan baru itu juga akan menghalang syarikat perniagaan daripada mengeluarkan kereta daripada pasaran sewa swasta lebih awal dan sebaliknya menjualnya, menjejaskan bekalan kereta yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) yang lain di pasaran.

Sebelum ini, tiada sekatan ke atas penukaran tersebut.

Syarikat boleh menukar PHC mereka kepada kereta penumpang dan menjualnya sebagai kereta terpakai secara bebas.

Antara Januari 2022 dengan Ogos 2024, kira-kira 1,500 PHC telah dilupuskan daripada skim tersebut setiap tahun dalam tempoh tiga tahun pertama mereka didaftarkan.

Encik Chee, yang juga Menteri Kedua Kewangan, berkata: “Kami tidak mahu (syarikat) membawa masuk dan keluar kenderaan daripada pasaran PHC.

“Kami mahu ia kekal sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum ia dijual sebagai kenderaan bukan PHC.

“Ini kemudian memberikan kestabilan yang lebih besar dalam pasaran PHC, yang saya fikir akan memberi kesan baik untuk pemandu dan penumpang.”

Pusat Pembelajaran Toa Payoh, yang dibuka secara rasmi oleh Encik Chee, ialah pusat kedua terbesar persatuan itu, meluaskan sokongan untuk pelajar disleksia dan yang mempunyai keupayaan belajar secara berbeza.

Ia menjadikan jumlah pusat yang menyediakan perkhidmatan campur tangan di seluruh Singapura kepada 12, kata DAS.

Disleksia ialah kesukaran pembelajaran khusus yang mempengaruhi kemahiran membaca dan menulis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg