Syarikat-syarikat mesti mengubah struktur dalaman dan mentaliti mereka demi mengatasi kebimbangan kian meningkat disebabkan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.

Ini termasuk menyusun semula kepimpinan, sumber manusia dan proses operasi agar mereka berupaya menyambut teknologi baharu, mengharungi cabaran, dan menyampaikan hala tuju yang jelas kepada pekerja di lapangan.

Bercakap di sesi dialog yang berlangsung di Persidangan Ekonomi Masa Depan anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands pada 14 Mei, Dr Koh berkata perniagaan harus melaksanakan proses pengurusan perubahan mantap yang mengutamakan latihan berterusan sebagai tonggak teras operasi mereka.

Beliau membandingkannya dengan sektor penjagaan kesihatan, di mana pihak hospital telah berjaya menyepadukan pembelajaran sepanjang hayat ke dalam DNA organisasi bagi mengurus kemajuan perubatan yang berterusan.

Dalam bidang perubatan, Dr Koh berkata kakitangan seperti doktor, jururawat dan pakar terapi tidak bimbang kehilangan pekerjaan mereka setiap kali terdapat ubat atau protokol klinikal baharu dikeluarkan kerana mereka dilatih secara berkala setiap minggu.

“Ada sesuatu baharu yang muncul setiap bulan dalam ruang perubatan, tetapi anda tidak melihat petugas penjagaan kesihatan cemas kehilangan pekerjaan mereka.

“Kenapa? Kerana DNA hospital adalah untuk melatih kakitangan mereka berulang kali, secara berkala setiap minggu,” kata Dr Koh.

Beliau menambah, untuk memastikan sebahagian besar ekonomi berkembang maju, menghadiri kursus mesti menjadi bahagian rasmi waktu pekerjaan bagi setiap syarikat, dan bukannya kegiatan yang dilakukan selepas waktu bekerja.

Dalam hal ini, beliau memberi contoh bagaimana pihak hospital menyediakan cuti latihan khusus dan pembiayaan untuk kakitangan mereka, sebagai sebahagian waktu pekerjaan.

Melalui pendekatan sistematik itu, Dr Koh berkata ia akan memastikan sekiranya terdapat teknologi atau alat baharu seperti AI yang muncul, organisasi bersedia secara struktur dan fungsi untuk menguruskan peralihan tanpa “bergerak dari satu cabaran ke cabaran yang lain”.

Bahagian penting peralihan ini, kata Dr Koh, memerlukan anjakan minda yang ketara dalam kalangan pemimpin perniagaan, yang mesti menyedari bahawa “struktur memacu fungsi” dengan cara yang sama seperti tubuh manusia dibina untuk tujuan tertentu.

Dr Koh memberi amaran bahawa jika pemimpin syarikat tidak terbuka untuk memacu perubahan, adalah mustahil untuk menyampaikan tentang proses baharu kepada pekerja di barisan pengeluaran.

“Jika sebagai sebuah syarikat, anda tidak mempunyai struktur organisasi mahupun proses untuk memacu perubahan itu, maka semua orang menjadi sangat cemas, dan mereka sebenarnya tidak mempunyai pelan tindakan untuk maju,” kata Dr Koh.

Selain peranan pemimpin syarikat, Dr Koh berkata beban penyesuaian tidak seharusnya terletak semata-mata di bahu majikan.

Beliau menekankan bahawa pekerja juga mesti diperkasa untuk bertanggungjawab dengan lebih baik terhadap perancangan kerjaya dan pembelajaran sepanjang hayat mereka sendiri.

Dalam era di mana teknologi memproses data lebih pantas daripada otak, tumpuan harus dialihkan kepada kemahiran ‘insani’ unik: Kreativiti, empati, dan kerja berpasukan – ciri yang tidak dapat diganti oleh AI.

Dr Koh menggesa pekerja agar melihat AI sebagai alat untuk meningkatkan keupayaan sedia ada dan bukannya ancaman, menekankan keperluan tenaga kerja untuk menjadi lebih fasih dan celik AI.

“Dalam era AI, saya suka mengatakan bahawa manusia harus menjadi lebih manusiawi,” kata Dr Koh, merujuk kepada sikap manusiawi seperti kreativiti dan empati yang tidak boleh direplikasi oleh AI.

Dengan minda pertumbuhan, tambah Dr Koh, pekerja akan lebih bersedia menghadapi peralihan kerjaya, menggunakan AI untuk menyerlahkan kebijaksanaan dan pengalaman profesional mereka.

“Ada sesuatu baharu yang muncul setiap bulan dalam ruang perubatan, tetapi anda tidak melihat petugas penjagaan kesihatan cemas kehilangan pekerjaan mereka. Kenapa? Kerana DNA hospital adalah untuk melatih kakitangan mereka berulang kali, secara berkala setiap minggu.” 
Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.