Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keakraban S’pura, Saudi buka peluang perkenal produk halal kededua negara

Perkongsian strategik baru akan saksikan S’pura-Saudi temu lebih kerap dalam usaha kembangkan kerjasama
Jan 16, 2025 | 5:52 PM
Semasa lawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri) ke Arab Saudi, beliau  bertemu dengan gabenor Taif, Putera Saud Nahar bagi membincangkan tentang potensi kerjasama mewujudkan peluang menarik bagi perniagaan Singapura dan para pelancong yang melawat Taif.
Semasa lawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri) ke Arab Saudi, beliau bertemu dengan gabenor Taif, Putera Saud Nahar bagi membincangkan tentang potensi kerjasama mewujudkan peluang menarik bagi perniagaan Singapura dan para pelancong yang melawat Taif. - Foto MDDI

Hubungan akrab Singapura dengan Arab Saudi telah membawa kepada kerjasama yang teguh dalam pelbagai bidang, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sambil menggesa peniaga negara ini menggunakan Saudi sebagai gerbang masuk ke Timur Tengah.

Bahkan, hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu dijangka diperkukuh lagi dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Majlis Perkongsian Strategik Singapura-Saudi pada 15 Februari.

“Dalam bidang perniagaan, peluang perdagangan telah membuka pintu kepada lebih banyak produk yang disahkan halal oleh Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) untuk memasuki pasaran Saudi dan bagi syarikat di Saudi untuk memperkenalkan produk halal mereka di Singapura.

“Saya galakkan para peniaga Singapura supaya menggunakan Arab Saudi sebagai gerbang masuk untuk mengembangkan sayap ke pasaran Timur Tengah,” kata beliau.

Encik Masagos berkata demikian dalam satu hantaran Facebook pada 15 Januari di akhir lawatan beliau ke Mesir dan Arab Saudi dari 8 hingga 15 Januari.

Pada 15 Januari, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, telah menandatangani MOU untuk menubuhkan Majlis Perkongsian Strategik Singapura-Arab Saudi.

Ini dilakukan sempena lawatan kerja Putera Faisal ke Singapura dari 14 hingga 15 Januari.

Beliau juga telah bertemu dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, di Istana.

Di bawah majlis baru itu, pemimpin kedua-dua negara – Encik Wong dan Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud dari Arab Saudi – akan bertemu secara berkala bagi mengembangkan kerjasama antara Singapura dengan Saudi.

Beberapa jawatankuasa peringkat menteri juga akan ditubuhkan, dengan harapan dapat memperkukuh hubungan politik, ekonomi, pertahanan, keselamatan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Majlis Perkongsian Strategik itu akan menggantikan Jawatankuasa Bersama Saudi-Singapura (SSJC), yang sebelum ini dipengerusikan di peringkat menteri oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dan Menteri Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi, Encik Saleh Nasser Al-Jasser.

Perkongsian strategik itu kali pertama diumumkan semasa lawatan mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, ke Arab Saudi pada Oktober 2023.

Menulis dalam satu hantaran Facebook pada 15 Januari, Encik Wong berkata majlis tersebut akan diterajui ketua pemerintah dari kedua-dua negara untuk menetapkan hala tuju baru bagi perkongsian strategik Saudi-Singapura.

“Ini merupakan perkongsian strategik pertama Singapura dengan sebuah negara Timur Tengah, dan kita juga rakan strategik pertama Saudi di Asia Tenggara.

“Penubuhan majlis ini mencerminkan kepentingan perkongsian ini, dan saya berharap dapat mempengerusikan bersama mesyuarat majlis yang pertama dengan Perdana Menteri Saudi Putera Mahkota Mohammed,” kata beliau.

Encik Masagos dalam hantaran Facebooknya pula berkata beliau “mengalu-alukan Perkongsian Strategik ini yang dijangka dapat membawa kerjasama Singapura bersama Arab Saudi ke tahap yang lebih tinggi, terutamanya dari segi hubungan antara rakyat, peluang perniagaan dan pertukaran pelancongan”.

Semasa lawatannya ke Arab Saudi itu, Encik Masagos telah menandatangani perjanjian haji bagi musim haji 2025 buat jemaah Singapura bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, di Jeddah.

Encik Masagos turut memohon agar Singapura diberi kuota haji tambahan, melebihi kuota rasmi 900 anggota jemaah yang diberi kerajaan Saudi bagi 2025.

Selain itu, beliau telah bertemu ulama Islam di sana dan berkongsi tentang perkembangan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Encik Masagos mengumumkan bahawa panel penasihat kolej itu akan dianggotai Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA), Dr Koutoub Mustapha Sano.

Panel itu akan memberi panduan tentang piawaian pendidikan, melakar hala tuju strategik untuk pelbagai program selain mengenal pasti kemahiran penting yang diperlukan oleh barisan pemimpin agama masa hadapan.

Encik Masagos juga telah bertemu dengan gabenor Taif, Putera Saud Nahar dan telah mengadakan perbincangan mengenai potensi kerjasama.

“Perbincangan saya bersama Gabenor Taif, Putera Saud Nahar amat memberangsangkan sedang kami meneroka potensi kerjasama yang bertujuan mewujudkan peluang menarik bagi perniagaan Singapura dan para pelancong yang melawat Taif,” kata beliau.

Saudi sebagai gerbang masuk peniaga S’pura ke Timur Tengah

Dalam bidang perniagaan, peluang perdagangan telah membuka pintu kepada lebih banyak produk yang disahkan halal oleh Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) untuk memasuki pasaran Saudi dan bagi syarikat di Saudi untuk memperkenalkan produk halal mereka di Singapura. Saya galakkan para peniaga Singapura supaya menggunakan Arab Saudi sebagai gerbang masuk untuk mengembangkan sayap ke pasaran Timur Tengah.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg