Firma selenggara enjin jet sasar ambil lebih 1,000 juruteknik dalam 5 tahun akan datang
Firma selenggara enjin jet sasar ambil lebih 1,000 juruteknik dalam 5 tahun akan datang
Syarikat Singapore Aero Engine Services Private Limited (SAESL) komited untuk mengambil lebih 1,000 juruteknik dalam tempoh lima tahun akan datang, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani di Pertunjukan Udara Singapura 2026.
Syarikat itu merupakan antara syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) terbesar di dunia yang menyediakan perkhidmatan bagi enjin jet Trent keluaran Rolls-Royce.
Pengumuman tersebut adalah antara yang dibuat pada hari ketiga segmen perdagangan pameran itu, yang dibuka kepada orang awam pada 7 dan 8 Februari di Pusat Pameran Changi.
SAESL akan mengambil lebih daripada 1,000 juruteknik dalam lima tahun akan datang bagi menyokong unjuran jangka panjang penghantaran enjin syarikat itu.
Langkah itu akan mewakili peluasan sebanyak 50 peratus daripada tenaga kerja jurutekniknya.
Komitmen pengambilan pekerja tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani bersama Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada 5 Februari di Pertunjukan Udara Singapura 2026.
SAESL juga akan meneroka pembangunan sebuah akademi latihan, yang dijangka dapat meningkatkan dengan ketara kapasiti penyelenggaraan enjin serta keupayaan juruteknik.
Syarikat itu mengguna pakai model latihan yang akan menyokong rancangan pertumbuhannya, selaras dengan usaha meningkatkan kapasiti MRO sejagat Rolls-Royce secara ketara menjelang 2030.
Menurut jurucakap SAESL, syarikat itu kini mempunyai sekitar 2,000 juruteknik mahir, namun memerlukan lebih ramai tenaga kerja bagi menyokong rancangan pertumbuhannya di Singapura.
Oleh itu, SAESL bekerjasama dengan politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan universiti tempatan untuk menarik bakat baru.
Menurut jurucakapnya, unjuran jangka panjang penghantaran enjin syarikat itu meliputi tempoh 10 hingga 15 tahun, sejajar dengan pertumbuhan sejagat Rolls-Royce, sekali gus memerlukan peningkatan pengeluaran secara berperingkat bagi memenuhi permintaan.
SAESL berkata ia menjangka dapat meningkatkan pengeluaran enjin kepada sekitar 400 unit setahun menjelang 2028.
Jurucakap SAESL berkata: “Peningkatan kerja dan kerumitan ini menuntut lebih banyak juruteknik serta pelaburan dalam kemahiran pembaikan canggih.”
SAESL turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Politeknik Singapura (SP) di pameran tersebut bagi mewujudkan rangka kerja usaha sama jangka panjang yang bertujuan memperkukuh saluran bakat bagi sektor MRO aeroangkasa.
Sementara itu, beberapa platform ST Engineering akan dilengkapi perisian kecerdasan buatan (AI) daripada sebuah syarikat aeroangkasa dan pertahanan Amerika Syarikat.
Ia membolehkan platform itu mengesan, membuat keputusan dan bertindak secara berautonomi.
Shield AI dan ST Engineering telah menandatangani MOU pada 4 Februari di Pertunjukan Udara 2026 bagi menyepadukan perisian Hivemind milik Shield AI dengan platform ST Engineering.
Menurut Shield AI, Hivemind ialah perisian AI yang berupaya menyesuaikan diri semasa misi, mengubah laluan di sekitar zon larangan terbang, mengelak ancaman, bertindak balas terhadap keadaan yang tidak dijangka dan menyelesaikan misi dengan selamat tanpa campur tangan manusia.
Ia berbeza daripada autopilot tradisional yang bergantung pada laluan yang sudah ditetapkan.
Pada 5 Februari, Shield AI dan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) mengumumkan peluasan kerjasama bagi membangunkan bersama AI untuk operasi penerbangan autonomi, yang sebelum ini ditandatangani bersama Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada Mac 2025.

