Menjelang 2042, rantau Asia-Pasifik akan memerlukan lebih 230,000 juruterbang baru dan lebih 250,000 juruteknik penyelenggaraan pesawat bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan di rantau ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Encik Juan Carlos Salazar, pada 16 Julai, berkata rantau Asia-Pasifik memerlukan ekosistem latihan yang dipiawaikan, dipacu oleh teknologi dan mampu berkembang untuk melahirkan juruterbang, juruteknik serta karyawan penerbangan lain secara pantas.
Menurut Encik Salazar, 2042 menandakan waktu di mana kanak-kanak yang masih kecil hari ini akan memasuki universiti, lapor The Straits Times (ST).
Bercakap di hadapan lebih 400 rakan industri dan pakar latihan semasa Simposium Latihan Serantau ICAO Asia-Pasifik yang pertama pada 16 Julai, beliau menekankan pentingnya memulakan latihan sekarang bagi menghasilkan bakat yang diperlukan di rantau ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kekurangan ketara kemudahan latihan di rantau ini, termasuk sekolah juruterbang, pusat latihan penyelenggaraan serta akademi kawalan trafik udara.
“Kita perlu membina hab latihan serantau, khususnya di Asia Tenggara dan Asia Selatan, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sekolah di luar rantau ini,” tambahnya.
Beliau membuat kenyataan itu selepas Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, menyatakan pada 14 Julai bahawa Singapura merancang untuk memperkenalkan program baru bagi melatih lebih ramai pegawai penerbangan dari seluruh dunia.
Semasa simposium itu, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Cik Sun Xueling, mengumumkan pelancaran program latihan baru oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) yang dinamakan Anugerah Latihan Asia Pasifik.
Sebanyak 120 anugerah tersebut akan disediakan untuk pegawai pemerintah daripada pihak berkuasa penerbangan awam negara-negara Asia-Pasifik, bagi menjalani latihan di Akademi Penerbangan Singapura.
Akademi tersebut, yang merupakan cabang latihan CAAS, sedang menjalani naik taraf bernilai $120 juta yang dijangka siap menjelang 2026.
Cik Sun berkata setakat ini, lebih 9,500 biasiswa telah diberikan kepada karyawan industri dari seluruh dunia melalui kursus yang dikendalikan oleh akademi itu.
Beliau turut menambah bahawa Singapura dan ICAO telah melancarkan Program Belia Asia-Pasifik untuk Penerbangan pada 14 Julai, yang menghimpunkan 36 belia berusia antara 19 dengan 28 tahun dari 19 negara Asia-Pasifik, untuk melawat lokasi berkaitan penerbangan dan mempelajari perkembangan industri terkini.
CAAS memaklumkan bahawa para belia itu juga akan menyertai sesi dialog bersama Encik Salazar dan Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan.
“Program ini menawarkan platform unik kepada belia yang berminat untuk membina rangkaian dan memahami hubungan antara pelbagai aspek dalam ekosistem penerbangan,” kata Cik Sun.
Salah seorang peserta dari Singapura, Encik Dylan Sim, berkata beliau teruja untuk lebih mengenali industri penerbangan serta menerima maklum balas daripada Encik Salazar dan Encik Han mengenai pembentangan kumpulannya mengenai pembangunan tenaga kerja di Asia-Pasifik.
“Berinteraksi dengan belia dari negara lain membuka minda kami terhadap dunia penerbangan,” kata pelajar universiti tahun ketiga berusia 23 tahun itu, yang mengikuti pengkhususan kejuruteraan aeroangkasa dalam kursus kejuruteraan mekanikalnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg