Dua perjanjian pelaburan dua hala dengan Côte d’Ivoire dan Nigeria telah berkuat kuasa, manakala lima perjanjian kerjasama telah ditandatangani pada 26 Ogos di Forum Perniagaan Afrika Singapura kelapan, yang dianjurkan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Singapura juga sedang merundingkan perjanjian pelaburan dua hala dengan Ghana dan berharap menyelesaikan perbincangan tidak lama lagi, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, lapor The Business Times (BT).
“Sumber luas di Afrika dan penduduknya yang muda, digabung dengan peningkatan penggunaan dan keupayaan pengilangan di Asia Tenggara, mencipta potensi besar untuk kerjasama,” kata Cik Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran.
Perjanjian dengan Côte d’Ivoire dan Nigeria adalah perjanjian yang mengikat secara undang-undang.
Ia menetapkan peraturan bagaimana kedua-dua negara harus menguruskan pelaburan dari Singapura, dan sebaliknya.
Singapura kini mempunyai tujuh perjanjian sedemikian dengan negara-negara di Afrika.
“Perjanjian-perjanjian ini akan memberi lebih banyak kepastian dan perlindungan untuk pelabur, menyediakan asas untuk kerjasama ekonomi yang lebih mendalam dan mampan antara rantau kita,” kata Cik Fu.
Perjanjian Singapura dengan Nigeria ditandatangani pada 2016 dan berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025, selepas disahkan oleh kededua negara.
Perjanjian dengan Côte d’Ivoire ditandatangani pada 2014 dan berkuat kuasa pada 26 Ogos.
Singapura juga telah mengadakan “perbincangan yang menggalakkan” dengan Masyarakat Afrika Timur tentang perjanjian perdagangan bebas yang boleh dijalankan, dan berharap dapat memulakan perundingan rasmi apabila pertubuhan antara pemerintah itu bersedia, ujar Cik Fu.
“Perjanjian ini akan menjadi batu loncatan yang penting dalam mendorong pasaran terbuka antara rantau kita dan mencipta laluan baru untuk perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Dalam forum itu, Pengerusi Eksekutif EnterpriseSG, Encik Lee Chuan Teck, berkata, perdagangan dua hala antara Singapura dengan Afrika berkembang daripada AS$9 bilion ($11.57 bilion) pada 2020 kepada lebih AS$13 bilion pada 2024.
Singapura adalah pelabur kelapan terbesar di Afrika, dengan lebih AS$20 bilion dilaburkan dalam sektor seperti pengilangan dan pembangunan prasarana.
Di forum tersebut, lima perjanjian telah ditandatangani bagi kerjasama dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan dan kemampanan.
Afrika menawarkan peluang menarik bagi syarikat Singapura, ujar Encik Lee.
Bilangan penduduknya yang besar, demografi muda, kelas pengguna yang berkembang, pembangunan pesat bandar, ekonomi digital yang membangun, dan sumber daya semula jadi.
Lebih 100 syarikat Singapura kini beroperasi di 40 negara di Afrika, tambahnya.
Melalui pejabat-pejabatnya, EnterpriseSG menawarkan nasihat dan rangkaian untuk membantu perniagaan Singapura memasuki pasaran Afrika.
EnterpriseSG akan mengadakan lawatan ke Lagos di Nigeria dan Johannesburg di Afrika Selatan, pada Oktober 2025 untuk menghubungkan syarikat Singapura dengan bakal rakan kongsi.
Forum Perniagaan Afrika Singapura 2025 berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos, dan dijangka menghimpunkan lebih 700 wakil perniagaan dan pemerintah dari sekitar 40 negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg