Pemaju tapak jualan kolektif kediaman berskala besar akan mendapat lebih banyak masa untuk menjual unit dalam projek tersebut, di bawah perubahan kepada Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD), yang bertujuan memudahkan pembangunan semula tapak sebegini. 

Mengumumkan perkara ini pada 28 Julai, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata pemerintah akur bahawa pemaju yang ingin menjalankan pembangunan semula tapak jualan kolektif kediaman berskala besar memerlukan lebih banyak masa untuk membina pembangunan mereka dan menjual unit tersebut.

Beliau berkata garis masa untuk melayakkan diri bagi pengecualian ABSD 35 peratus akan dilanjutkan, bagi tapak lebih besar yang dibeli mulai 29 Julai. 

Tapak besar – iaitu yang menghasilkan sekurang-kurangnya 700 unit kediaman tetapi kurang daripada 1,400 unit kediaman selepas pembangunan semula – akan mempunyai garis masa penyiapan dan penjualan yang dilanjutkan kepada enam tahun, daripada lima setengah tahun pada masa ini.

Sementara itu, tapak mega – yang menghasilkan sekurang-kurangnya 1,400 unit kediaman selepas pembangunan semula – akan mempunyai garis masa penyiapan dan penjualan selama tujuh tahun, daripada lima setengah tahun pada masa ini.

Pemaju tapak mega perlu menjual sekurang-kurangnya separuh daripada unit kediaman pada penghujung tahun keenam, atau berdepan pemulangan semula sepenuhnya bahagian 35 peratus ABSD yang boleh dikecualikan. Mereka juga akan berdepan pemulangan semula ABSD sepenuhnya sekiranya mereka tidak menjual kesemua unit selepas tujuh tahun.

“Perubahan ini bertujuan menyediakan insentif yang tepat untuk pemaju menghidupkan semula kawasan perumahan yang lebih besar,” kata Encik Chee semasa berucap di Persidangan Semakan Ekonomi Singapura. 

“Ini membolehkan kita menggalakkan lebih banyak penggunaan tanah secara optimum, dan mencapai hasil yang baik untuk masyarakat secara keseluruhan.” 

Beliau menyatakan bahawa Singapura boleh berakhir dengan keadaan yang merugikan semua pihak sekiranya pemaju dihalang daripada membangunkan semula tapak jualan kolektif kediaman berskala besar. 

Pada masa ini, pemaju perumahan yang membeli tanah kediaman dikenakan ABSD sebanyak 40 peratus.

Daripada jumlah itu, 5 peratus tidak boleh dipulangkan semula. Baki 35 peratus boleh dipulangkan semula, dengan syarat pemaju memenuhi tiga syarat.

Tiga syarat itu ialah memulakan pembinaan dalam tempoh dua tahun selepas membeli tapak, menyiapkan pembinaan dalam tempoh lima tahun selepas pembelian, serta menjual kesemua unit perumahan dalam tempoh yang sama.

Pada Mac 2025, pemerintah menyediakan lanjutan enam hingga 12 bulan untuk pemaju melayakkan diri bagi pengecualian tersebut.