Tempoh menunggu selama 15 bulan bagi pemilik hartanah privet yang ingin membeli flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dimansuhkan serta-merta, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Mengumumkannya pada 28 Julai, Encik Chee berkata keadaan pasaran telah bertambah baik dan pemerintah menilai langkah penyejukan itu telah mencapai matlamatnya.

Beliau berkata harga jualan semula HDB telah menurun dengan ketara, daripada 10.4 peratus pada 2022 kepada 2.9 peratus pada 2025. Harga jualan semula HDB turut merosot bagi suku kedua berturut-turut pada suku kedua 2026, selepas susut buat kali pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun pada suku pertama 2026.

“Dengan perubahan ini, pemilik hartanah privet daripada semua peringkat umur tidak lagi perlu menunggu untuk membeli flat jualan semula HDB tidak bersubsidi, tanpa mengira saiznya,” kata Encik Chee dalam ucapannya pada Persidangan Semakan Ekonomi Singapura ke-11.

Diperkenalkan pada September 2022, tempoh menunggu selama 15 bulan itu bertujuan membendung permintaan pemilik rumah privet yang mempunyai wang tunai mencukupi untuk membeli flat jualan semula HDB tidak bersubsidi.

Tidak lama selepas memegang jawatan Menteri Pembangunan Negara pada Mei 2025, Encik Chee berkata langkah itu bukan bertujuan dilaksanakan secara kekal, dan akan dimansuhkan “apabila keadaan bertambah baik”.

Beliau kemudian berkata pada Jun 2025 bahawa pemilik hartanah privet mungkin tidak perlu menunggu sehingga 2027 atau 2028 untuk semakan syarat tempoh menunggu itu, memandangkan bekalan berterusan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baharu serta unit jualan semula dijangka membantu mengekang kenaikan harga jualan semula.

Sehingga 31 Mac 2025, HDB menerima dan mengendalikan kira-kira 5,500 rayuan bagi pengecualian syarat itu, dengan kira-kira satu perempat daripadanya diluluskan.