Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temasek antara pelabur asas dana terbaru firma ekuiti privet LeapFrog

Tujuan dana bagi mempercepatkan syarikat perkhidmatan penjagaan kesihatan, kewangan berimpak tinggi dalam pasaran pertumbuhan sejagat
Dec 3, 2024 | 3:30 PM
Temasek mempunyai pegangan minoriti dalam pelaburan LeapFrog, selepas pelabur negara itu memeterai perkongsian strategik AS$500 juta ($673 juta) dengan firma itu pada Mac 2021.
Temasek mempunyai pegangan minoriti dalam pelaburan LeapFrog, selepas pelabur negara itu memeterai perkongsian strategik AS$500 juta ($673 juta) dengan firma itu pada Mac 2021. - Foto ST

Temasek adalah antara pelabur asas untuk dana terbaru daripada LeapFrog Investments, firma ekuiti privet yang menumpukan pada pelaburan berkaitan kemampanan dalam pasaran baru muncul.

Di samping pelabur negara Singapura itu, pelabur asas lain untuk dana keempatnya – yang ditutup pada 26 November dengan pelaburan berjumlah AS$1.02 bilion ($1.36 bilion) – termasuk syarikat AIA dan Prudential, bersama dengan institusi kewangan pembangunan seperti European Investment Bank dan Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat.

LeapFrog juga menarik komitmen penting daripada pengurus aset sejagat seperti Sumitomo Mitsui Trust Bank dan Van Lanschot Kempen, pelabur strategik penjagaan kesihatan Eli Lilly and Company.

Ia juga menarik komitmen penting daripada yayasan dan endowmen seperti Yayasan Ford dan Yayasan Imas, sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh pengasas syarikat perabot sejagat Ikea, lapor The Business Times.

AS$1.02 bilion yang diperoleh – daripada sasaran awal sebanyak AS$1 bilion – termasuk AS$808 juta komitmen dana utama dan sehingga AS$210 juta pelaburan bersama yang sudah diperuntukkan.

Tujuan dana ini adalah untuk mempercepatkan syarikat perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kewangan berimpak tinggi dalam pasaran pertumbuhan sejagat.

Peruntukan baru kepada pelaburan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kewangan LeapFrog yang merentasi kitaran penjanaan dana baru-baru ini telah meningkat kepada lebih AS$1.15 bilion.

Ini di samping perkongsian tambahan dengan Prudential Financial untuk melabur dalam firma perkhidmatan kewangan Afrika, Alexander Forbes.

Temasek mempunyai pegangan minoriti dalam pelaburan LeapFrog, selepas pelabur negara itu memeterai perkongsian strategik AS$500 juta dengan firma itu pada Mac 2021.

Pada November 2023, pelabur negara itu bergabung tenaga dengan firma ekuiti privet dan European Investment Bank untuk melabur AS$500 juta dalam syarikat yang menyediakan penyelesaian hijau di Afrika dan Asia yang sedang pesat membangun.

Bagi dana terbarunya itu, LeapFrog berkata ia bukan sekadar mengumpul modal daripada pelabur lama seperti Temasek.

Sejumlah besar dana turut diperoleh daripada pelabur baru, dengan pangkalan pelabur yang diperluaskan ke pasaran baru seperti Singapura, China, Jepun, Austria, Norway, Oman dan Turkey.

Leapfrog menambah bahawa lebih daripada 50 peratus modal dari Asia termasuk pelabur dari Jepun, Singapura dan China yang melabur dengan mereka buat kali pertama.

Dana ini telah pun menggunakan AS$24 juta melalui lima syarikat awal yang telah mencapai pertumbuhan hasil yang kukuh sepanjang tahun lalu.

Syarikat-syarikat tersebut ialah:

– Syarikat diagnostik Redcliffe Labs, yang telah menjalankan lebih 20 juta ujian untuk pesakit di India menggunakan rangkaian terpencar 76 makmal dan lebih 1,600 pusat pengumpulan.

– Pembiaya tenaga suria luar grid, Sun King, yang telah menyediakan akses kepada tenaga suria bagi 118 juta individu, sambil menjimatkan lebih AS$7.2 bilion dalam perbelanjaan tenaga bagi isi rumah berpendapatan rendah yang kini tidak perlu membayar untuk tenaga biojisim, lampu minyak tanah dan penjana diesel.

– Syarikat insurans teknologi, Bolttech, yang menggunakan insurans terbenam untuk menawarkan polisi yang disesuaikan dan berkos rendah di 35 pasaran, termasuk Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

– Syarikat pemberi pinjaman Electronica Finance, yang menyediakan pinjaman untuk mesin, peralatan, panel suria atas bumbung dan tujuan lain kepada perusahaan kecil dan sederhana di India. Ia mengurus aset yang telah meningkat tiga kali ganda sejak lima tahun lepas.

– Pemberi pinjaman pendidikan tinggi, Auxilo Finserve, yang telah menyaksikan pertumbuhan tahunan bergabung sebanyak 75 peratus sepanjang tiga tahun lepas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg