Syarikat juga harus memainkan peranan untuk mengembangkan ekonomi Singapura dengan menjalani transformasi dan meningkatkan produktiviti.
Dengan itu, mereka dapat mengatasi cabaran tenaga kerja di tengah-tengah dunia yang tidak menentu, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Berucap di majlis makan malam anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pada 30 September di hotel Shangri-La Singapura, Encik Lee memberi jaminan kepada syarikat bahawa pemerintah serta gerakan pekerja akan terus memberikan sokongan dalam usaha transformasi mereka.
Ini memandangkan pertumbuhan negara dan transformasi ekonomi kekal penting untuk meningkatkan kehidupan dan kemaslahatan rakyat Singapura.
“Pendapatan produktiviti adalah sumber utama pertumbuhan ekonomi.
“Kita bukan sahaja mahukan GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) yang lebih besar, malah juga pendapatan per kapita yang lebih tinggi, dan dengan itu, taraf kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
“Itu hanya boleh dikekalkan melalui produktiviti yang lebih tinggi. Di sinilah perniagaan perlu memainkan peranan anda, kerana apabila syarikat melakukan yang lebih baik, begitu juga keseluruhan ekonomi kita,” kata Encik Lee.
Acara pada 30 September itu dianjurkan oleh SBF bagi memberi penghormatan kepada Encik Lee atas sumbangan beliau kepada ekonomi dan perniagaan Singapura selama beberapa dekad, seiring dasar yang telah mengubah negara menjadi salah satu ekonomi paling berjaya di dunia.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkata usaha syarikat untuk meningkatkan produktiviti bergantung bukan sahaja pada faktor lebih luas seperti prasarana yang cekap, persekitaran perniagaan yang kondusif atau penemuan teknologi.
Malah, beliau menambah, ia juga merangkumi usaha syarikat untuk meningkatkan tenaga kerja mereka, mencipta peluang baru dan membangunkan pasaran baru.
Beliau menambah, Singapura memerlukan sektor korporat yang berdaya saing dengan syarikat yang berkembang pesat manakala syarikat yang menunjukkan prestasi kurang baik harus beralih ke sektor yang lebih produktif, atau mungkin keluar daripada perniagaan.
“Beginilah cara pasaran bebas menjana pertumbuhan, dan inilah cara ekonomi kita mesti berfungsi.
“Di Singapura, apabila syarikat menjalani transformasi, anda boleh bergantung bukan sahaja kepada pemerintah yang menyokong daya perusahaan, bahkan juga gerakan buruh yang saling menyokong,” ujar Encik Lee.
Memberi contoh, beliau berkata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) telah bekerjasama dengan perniagaan menyediakan Perancangan Perubahan Industri (ITM) untuk melakar hala tuju bagi industri utama dan membantu firma dalam industri yang sama berinovasi dan meningkatkan produktiviti.
Langkah itu bagi membolehkan mereka terus berkembang maju dalam ekonomi masa depan.
Beliau turut menekankan peranan penting yang dimainkan oleh Persatuan Perdagangan dan Dewan Perniagaan (TAC) untuk bekerjasama dengan pemerintah bagi menubuhkan rangkaian Pusat SME (perusahaan kecil dan sederhana) di seluruh negara.
Ia khusus untuk menawarkan khidmat nasihat perniagaan, bengkel membangun keupayaan, dan pelbagai perkhidmatan pemudahan.
Beliau juga menonjolkan usaha Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang telah melancarkan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dengan sokongan pemerintah untuk menterjemahkan ITM kepada program latihan yang disesuaikan mengikut keperluan syarikat.
“Banyak syarikat telah menubuhkan CTC, menggunakan geran CTC untuk mendigitalkan dan menyelaraskan aliran kerja mereka, serta meningkatkan kemahiran pekerja dengan bantuan NTUC LearningHub.
“Dengan cara ini, syarikat boleh meningkatkan produktiviti mereka, manakala pekerja mereka boleh meraih manfaat daripada transformasi dan kemajuan teknikal,” tambah Encik Lee.
Semasa ucapannya, Encik Lee turut memberi penghargaan kepada Perkongsian Tiga Pihak yang kukuh yang telah berkhidmat dengan baik kepada Singapura selama setengah abad, dan terus memberikan kelebihan daya saing yang berterusan kepada Singapura.
“Saya amat menghargai komitmen majikan terhadap perkongsian tiga pihak, dan sumbangannya kepada forum tiga pihak seperti Majlis Gaji Kebangsaan (NWC).
“Dan saya yakin anda akan memainkan peranan anda untuk mengukuhkan dan memperbaharui perkongsian ini, demi memastikan ia kekal kukuh buat generasi akan datang,” kata Encik Lee.
Semasa acara itu juga, SBF menyampaikan cek bernilai $500,000 yang dikumpul oleh Yayasan SBF daripada pelbagai syarikat atas nama Encik Lee kepada lima badan bantu diri bagi menyokong pekerja yang memerlukan dan membolehkan akses yang sama kepada pekerjaan.
Kelima-lima badan itu ialah Yayasan Mendaki, Persatuan Serani (EA), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) dan Dana Daya Kebolehkerjaan Yayasan SBF.
Pengerusi SBF, Encik Lim Ming Yan, dalam ucapan pembukaannya, berkata tempoh pemerintahan Encik Lee sebagai Perdana Menteri telah “ditandai dengan keputusan yang berani, dasar yang inovatif, dan komitmen yang teguh demi membina masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Singapura”.
“Masyarakat perniagaan Singapura amat berterima kasih atas dedikasi Encik Lee yang tidak mementingkan diri sendiri kepada negara, bukan sahaja selama 20 tahun sebagai Perdana Menteri malah seluruh kehidupan kerjayanya.
“Encik Lee sentiasa mengingatkan kita bahawa tujuan kemajuan ekonomi adalah untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Encik Lim.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg