Syarikat pelaburan Singapura, Temasek, sedang memuktamadkan penjualan beberapa aset daripada syarikat perdagangan gas asli cecair (LNG) Pavilion Energy kepada Shell, dengan perjanjian yang ditetapkan dijangka diselesaikan dalam beberapa hari akan datang, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu.
Perjanjian itu akan memberikan Shell, yang sudah menjadi peniaga LNG terkemuka dunia, akses kepada pasaran gas di Eropah dan Singapura sedang ia mengembangkan jejak LNG-nya secara agresif selepas mengaut keuntungan berbilion dolar pada 2023.
Menurut agensi berita Reuters dalam laporannya pada 13 Jun lalu, nilai perjanjian itu akan mencecah ratusan juta dolar Amerika, menurut salah satu sumber. Nilai itu adalah lebih rendah daripada sasaran awal Temasek untuk penjualan itu.
Reuters melaporkan pada April lalu bahawa Shell dan Saudi Aramco telah mengadakan perbincangan lanjut untuk membeli aset daripada Temasek, yang berusaha mendapatkan lebih AS$2 bilion ($2.7 bilion) daripada perjanjian itu.
Sumber itu enggan memberikan nama kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.
Temasek, Pavilion Energy dan Shell enggan memberikan komen.
Perjanjian itu dibuat beberapa bulan selepas Temasek meletakkan peniaga yang berpangkalan di Singapura itu untuk dijual selepas Pavilion Energy memperoleh keuntungan pada tahun itu hingga Mac 2023 atas harga LNG yang kukuh berikutan perang Ukraine.
Shell telah membekalkan satu perempat daripada keperluan gas asli Singapura, dan perjanjian itu akan menjadikannya pembekal terbesar kepada republik ini.
Namun, sumber itu berkata, penjualan aset Pavilion Energy akan menjejas pemilikan Temasek ke atas Gas Supply Pte Ltd (GSPL), yang mempunyai lesen untuk mengimport gas asli melalui saluran paip dari Indonesia atas sebab keselamatan tenaga.
Temasek telah menubuhkan Pavilion Energy sedekad lalu untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berkaitan LNG.
Pavilion Energy melabur kira-kira AS$1.3 bilion dalam tiga blok gas di Tanzania pada 2013 dan mendapat akses ke Eropah dengan pembelian aset LNG Iberdrola pada 2019, termasuk kapasiti menghasilkan LNG kepada gas di Britain dan Sepanyol.
Di Eropah, Pavilion Energy mengimport kira-kira persepuluh daripada jumlah LNG di Sepanyol, yang telah menjadi pembekal gas penting di Eropah dengan mengeksport semula LNG ke negara seperti Italy, disebabkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine mendorong negara-negara terlibat mengurangkan pergantungan mereka kepada gas Russia.
Di Singapura, Pavilion Energy ialah satu daripada empat syarikat yang dilantik oleh Penguasa Bekalan Tenaga (EMA) untuk mengimport LNG. Ia membekalkan satu pertiga daripada permintaan tenaga dan gas perindustrian negara ini dengan LNG dan gas asli berpaip, menurut laman webnya.
Ia juga membekalkan LNG kepada kapal-kapal di Singapura, pelabuhan ‘bunkering’ (mengisi bahan api) terbaik dunia.
Syarikat tidak tersenarai itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak AS$438 juta bagi tahun kewangan hingga Mac 2023, selepas mencatatkan kerugian tahun sebelumnya sebanyak AS$666 juta, manakala pendapatan meningkat 38 peratus kepada $9.09 bilion, menurut laman web Temasek.
Nilai ekuiti pemegang saham ialah AS$3.63 bilion pada Mac 2023, menurut laman itu lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg