Topik diikuti
Pergi ke BHkuTemasek rancang buka pejabat di Riyadh, Abu Dhabi pada 2027 bagi perkukuh usaha di Timur Tengah
Temasek rancang buka pejabat di Riyadh, Abu Dhabi pada 2027 bagi perkukuh usaha di Timur Tengah
Temasek rancang buka pejabat di Riyadh, Abu Dhabi pada 2027 bagi perkukuh usaha di Timur Tengah
Temasek merancang membuka pejabat di Riyadh dan Abu Dhabi pada separuh pertama 2027, menandakan kehadiran fizikal pertamanya di Timur Tengah ketika ia giat memperdalam pendedahannya kepada rantau ini.
Pejabat tersebut, tertakluk kepada kelulusan berkanun, akan berfungsi sebagai “hab strategik” untuk syarikat pelaburan itu dan syarikat portfolionya.
Sebahagian daripadanya dijangka ditempatkan bersama di sana, kata Temasek pada 30 September, menurut The Business Times (BT).
Temasek menambah bahawa ia melihat peluang yang meluas di Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar, dan akan meningkatkan penglibatan dengan institusi di Qatar untuk meneroka peluang pelaburan dan perkongsian.
Langkah tersebut juga akan memberi Temasek akses yang lebih besar kepada peluang-peluang di Asia Tengah dan Afrika, kata syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Temasek, Encik Dilhan Pillay, berkata bahawa Timur Tengah merupakan rantau penting daripada rangkaian globalnya, memetik kadar transformasi ekonomi rantau itu dan apa yang digambarkannya sebagai asas jangka panjang yang menarik.
“Kami melihat penyelarasan yang kukuh antara keutamaan rantau ini dengan bidang tumpuan Temasek sendiri,” ujarnya.
Hubungan Temasek di Arab Saudi, UAE dan Qatar telah dibina selama beberapa tahun melalui perkongsian, pelaburan bersama dan syarikat-syarikat portfolionya, tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Global Investments, Encik Chia Song Hwee, berkata bahawa perkembangan terbaru itu akan mengukuhkan penglibatan Temasek dengan rakan kongsi dan meningkatkan akses kepada peluang pelaburan di seluruh Timur Tengah dan di luarnya.
Encik Chia telah dilantik sebagai pengerusi untuk Timur Tengah dan Afrika pada 1 September dan akan menyelia penglibatan serta pertumbuhan jangka panjang Temasek dalam pasaran tersebut.
Encik Ankit Khemka, pengarah urusan bagi rantau berkenaan, akan terus memacu strategi dan pengembangan syarikat.
Setelah dibuka kelak, pejabat Riyadh dan Abu Dhabi akan meluaskan rangkaian global Temasek kepada 15 pejabat di 11 negara pada 2027, meningkat daripada 13 pejabat di sembilan negara pada masa ini.
Pejabat sedia adanya termasuk di Beijing, Hanoi, Mumbai, Shanghai, Shenzhen dan Singapura di Asia, serta Brussels, London, Bandar Mexico, New York, Paris, San Francisco dan Washington D.C.
Pengumuman itu menyusuli komen oleh pengerusi Temasek, Encik Teo Chee Hean, dalam satu wawancara pada Jun bersama BT.
Dalam sesi itu, beliau berkata bahawa Temasek sedang “meneroka secara aktif” untuk mewujudkan kehadiran di Timur Tengah.
Encik Teo, mantan timbalan perdana menteri, berkata Temasek akan menambah pejabat di luar negara hanya apabila ia melihat peluang pelaburan, dan bukan semata-mata untuk perluasan dari segi geografi sahaja.
Nilai portfolio bersih Temasek mencecah rekod $518 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 – meningkat daripada $469 bilion pada tahun sebelumnya.
