Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Temasek rancang labur hingga AS$30b di Amerika dalam tempoh lima tahun

Jul 30, 2024 | 2:28 PM
Pelaburan Temasek di Amerika Syarikat akan bertumpu kepada sektor seperti jagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan teknologi.
Pelaburan Temasek di Amerika Syarikat akan bertumpu kepada sektor seperti jagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan teknologi. - Foto REUTERS

NEW YORK: Syarikat pelaburan pemerintah, Temasek, merancang melabur sehingga AS$30 bilion ($40 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang di Amerika Syarikat dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan teknologi.

“Amerika Syarikat adalah pasaran modal yang sangat mendalam dan luas,” kata Cik Jane Atherton, ketua Temasek di Amerika Utara, kepada agensi berita Reuters.

“Ia benar-benar berada di barisan hadapan dalam semua perkara yang berlaku dari perspektif AI (kecerdasan buatan).”

Ekonomi Amerika Syarikat berkembang lebih pantas daripada jangkaan pada suku kedua dan terus mengatasi rakan setara globalnya.

Walaupun terdapat pergolakan baru-baru ini, indeks S&P 500 meningkat 14.5 peratus tahun ini, sebahagiannya didorong keterujaan terhadap kecerdasan buatan.

Sebaliknya, China melaporkan pertumbuhan lebih lemah daripada jangkaan awal bulan ini (Julai 2024) dan mengejutkan pasaran dengan memotong kadar faedah jangka pendek dan jangka panjang utama minggu lalu dalam usaha meningkatkan ekonominya.

Kira-kira 22 peratus pelaburan Temasek adalah di benua Amerika, atau AS$63 bilion, dan 19 peratus di China.

Pendedahannya kepada benua Amerika mengatasi China pada tahun kewangan lalu buat kali pertama dalam sedekad.

Di Amerika Syarikat, Temasek berminat dalam bidang yang berkaitan dengan AI, seperti pusat data, semikonduktor dan penyimpanan bateri, kata Cik Atherton.

Temasek berkata awal Julai 2024 bahawa keuntungan daripada pelaburan di Amerika Syarikat dan India membantu mengurangkan prestasi yang kurang baik di China.

Menurutnya, ia mengambil pendekatan berhati-hati terhadap China di tengah-tengah ketegangan perdagangan.

“Isu geopolitik sentiasa memainkan peranan,” kata Cik Atherton, sambil menyatakan bahawa sejak tiga tahun lalu, prestasi China lebih rendah berbanding seluruh dunia, terutama Amerika Syarikat.

Temasek menguruskan portfolio AS$288 bilion yang tertumpu pada pelaburan jangka panjang dengan tema seperti pendigitalan dan kemampanan.

Cik Atherton menambah bahawa kebanyakan prestasi masa depan saham Amerika Syarikat akan bergantung pada pendapatan, terutama bagi sektor megacap (syarikat-syarikat dengan pelaburan terbesar) teknologi.

“Anda telah melihat beberapa pengembangan, tetapi itu didorong pertumbuhan yang lebih tinggi, dan secara teori ia akan berbaloi,” katanya.

Temasek juga sedang mencari pelaburan dalam kedua-dua pasaran awam dan swasta, kerana lebih banyak firma ekuiti swasta berusaha melepaskan diri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg