Bidang yang sedang berkembang seperti kecerdasan buatan (AI) telah menarik perhatian syarikat pelaburan Singapura, Temasek, yang sedang meneroka peluang melabur dalam syarikat yang terlibat dalam rantaian nilai AI.
Dalam Laporan Semakan Temasek 2025 yang dikeluarkan pada 9 Julai, syarikat itu berkata ia sedang meneliti bidang baru seperti AI dan prasarana “teras tambah” (‘core-plus’), yang merujuk kepada kelas aset baru muncul, termasuk prasarana digital dan aset peralihan tenaga.
Ini adalah sebahagian usaha Temasek membina portfolio yang berdaya tahan dan sedia masa depan, yang dapat menjana keuntungan mampan dalam jangka masa panjang, lapor The Straits Times (ST).
Ketua Pegawai Pelaburan Temasek, Encik Rohit Sipahimalani, berkata:
“Terdapat keperluan besar bagi modal dan peluang, khususnya dalam bidang AI dan berkaitan tenaga.
“Dalam beberapa aspek, terdapat keperluan untuk menaik taraf prasarana.”
Temasek kini melabur dalam pelbagai syarikat terkemuka yang telah mencapai skala kejayaan besar dalam bidang AI.
Ia juga sedang meneliti perniagaan yang menyokong ekosistem AI lebih luas, seperti pusat data dan syarikat peringkat awal yang inovatif.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek, Encik Chia Song Hwee, berkata: “Banyak perkara perlu dipertimbangkan. Kami tidak akan mengambil risiko berlebihan.
“Bagi sebilangan syarikat, walaupun AI sering diperkatakan, perniagaannya agak pelbagai.
“Contohnya, Nvidia, sama ada ia menggunakan AI atau tidak, perniagaan seperti ini kukuh pada asasnya dan merupakan peneraju pasaran.”
Beliau menambah, kegiatan lebih berisiko ialah melabur dalam perniagaan yang menerapkan AI, dengan banyak syarikat pemula yang beroperasi dalam ruang tersebut.
“Bagi syarikat pemula lebih kecil, kami akan menggunakan penilaian lebih ketat dan lebih berhati-hati,” katanya.
Peluang dalam bidang AI sangat besar, dan Temasek akan bersikap memilih, bekerjasama dengan pengurus dana modal teroka (VC), dan hanya menyertai dalam pusingan pembiayaan seterusnya, apabila perniagaan tersebut menunjukkan potensi untuk berkembang.
Berhubung syarikat pemula, Temasek memperuntuk sekitar 5 peratus daripada portfolionya bagi pelaburan dalam syarikat peringkat awal.
Encik Sipahimalani berkata Temasek akan terus melabur dalam syarikat pemula, namun dengan strategi untuk menyertainya pada pusingan pembiayaan kemudian.
Temasek telah meraih pulangan baik daripada pelaburan dalam syarikat di peringkat awal, pada masa lalu, seperti Alibaba, tambahnya.
Bagi syarikat yang mempunyai teknologi yang mungkin boleh menyebabkan gangguan, misalnya pelakuran nuklear (‘nuclear fusion’), Temasek akan terus memantau syarikat sedemikian, dan membuat pelaburan jika ia menunjukkan tanda kejayaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg