Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

The Hour Glass peroleh dua tingkat pejabat di Tong Building bernilai $68.5j

Sep 27, 2024 | 5:31 PM
Pemerolehan unit dalam bangunan di Orchard Road ini adalah sebahagian strategi kumpulan The Hour Glass untuk “melabur dalam aset bermutu tinggi”.
Pemerolehan unit dalam bangunan di Orchard Road ini adalah sebahagian strategi kumpulan The Hour Glass untuk “melabur dalam aset bermutu tinggi”. - Foto SAVILLS SINGAPORE

Peruncit jam tangan mewah The Hour Glass, mengumumkan pada 26 September bahawa ia telah membeli dua tingkat unit pejabat di Tong Building pada harga $68.5 juta.

Pembelian itu adalah untuk unit yang terletak dari #09-01 hingga #09-04 dan #10-01 hingga #10-04.

Keluasan kawasan strata kedua-dua tingkat ialah 13,734 kaki persegi.

Penjual untuk unit-unit ini ialah See Hoy Chan Realty dan See Hoy Chan Land, lapor The Business Times.

Terletak di 302, Orchard Road, Tong Building ialah hartanah pejabat pegangan bebas.

Dua tingkat pejabat itu terletak berhampiran pejabat korporat The Hour Glass di bangunan yang sama.

Pertimbangan pembelian itu dibuat atas dasar kesediaan kededua pihak penjual dan pembeli manakala sebahagian besarnya akan dibiayai oleh sumber dalaman, kata syarikat itu.

Pemerolehan unit ini adalah sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk “melabur dalam aset bermutu tinggi yang akan melengkapkan hartanah komersial kumpulan di rantau ini, dan mempunyai potensi untuk kegunaan sendiri”, tambahnya.

Pembelian itu dijangka selesai pada Disember.

Ejen pemasaran, Savills Singapore, berkata:

“Berdasarkan peraturan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) baru-baru ini yang tidak membenarkan pembahagian strata selanjutnya di Orchard Road dan beberapa bahagian Kawasan Pusat Bandar (CBD), pejabat pegangan bebas ini menonjol sebagai pelaburan yang besar.

“Bekalan terhad hartanah sedemikian menekankan nilai dan tarikannya.”

Selain unit di tingkat sembilan dan 10, Savills menjadi perantara penjualan unit di tingkat enam pada Ogos.

Unit seluas 6,867 kaki persegi itu dijual pada harga $31.33 juta atau $4,562 setiap kaki persegi (psf) kepada Parkway Hospitals Singapore oleh Nanyang Holdings.

Cik Yap Hui Yee, pengarah eksekutif jualan pelaburan dan pasaran modal Savills Singapore, menambah bahawa jualan terkumpul di ketiga-tiga tingkat ini mencecah kira-kira $100 juta, dengan purata harga campuran $4,845 setiap kaki persegi.

Aras ini menarik minat daripada pejabat keluarga, kumpulan perubatan dan pengguna, dan penghuni pemilik, kata Cik Yap.

Beliau menambah bahawa langkah memberi nafas baru kepada Orchard Road akan menarik pelabur ke aset di kawasan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg