Akauntan bertauliah adalah kerjaya kedua paling dipercayai di Singapura, hanya di belakang doktor, menurut hasil satu tinjauan baru.
Sebanyak 85 peratus pemimpin perniagaan kanan di Singapura berkata mereka percaya akauntan bertauliah akan “melakukan perkara yang betul”, meningkat tujuh peratusan mata berbanding pada 2019.
Di peringkat sejagat, kerjaya itu menduduki tempat ketiga dari segi amanah dengan meraih 83 peratus, di belakang doktor dan jurutera, kedua-duanya sebanyak 85 peratus, lapor The Business Times.
Penemuan tersebut didedahkan hasil Tinjauan Amanah 2025 oleh firma penyelidikan pasaran, Edelman DXI, yang dijalankan dengan kerjasama rangkaian Akauntan Bertauliah Seluruh Dunia.
Tinjauan itu melibatkan 1,725 responden yang merupakan pemimpin perniagaan di peringkat pengarah dan ke atas di 10 pasaran pada April dan Mei, termasuk 250 di Singapura.
Tinjauan itu juga mendapati 88 peratus responden mempercayai badan perakaunan negara Singapura, Institut Akauntan Bertauliah Singapura (Isca), “melakukan perkara yang betul”, peningkatan lapan mata daripada 2019.
“Kepercayaan kepada anggota Isca berakar umbi dalam peranan penting mereka membimbing perniagaan bergerak ke hadapan,” kata Presiden Isca, Encik Teo Ser Luck.
“Dengan lebih 40,000 anggota merentasi kepimpinan korporat, pemerintah dan pegamal awam, anggota kami bukan sahaja pengurus kewangan, bahkan penasihat yang dipercayai membentuk keputusan penting.”
Akauntan bertauliah Singapura lebih kerap dipanggil membentuk strategi berbanding rakan sejawatan mereka di pasaran lain yang ditinjau.
Kira-kira 87 peratus responden berkata mereka memainkan “peranan penting” dalam membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan cabaran baru, manakala 84 peratus bergantung pada mereka untuk bimbingan strategik.
Ketika syarikat bergelut dengan gangguan teknologi, 86 peratus responden berkata akauntan bertauliah memainkan “peranan penting” dalam membantu perniagaan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi, manakala 82 peratus melihatnya sebagai “penting” dalam mengemudi pelaburan AI.
“Akauntan bertauliah memegang banyak peranan penting dalam pasaran, sebagai juruaudit, ahli lembaga pengarah, ketua pegawai kewangan, perunding dan juga penasihat kewangan bebas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Peraturan Bursa Singapura, Encik Tan Boon Gin.
“Penemuan tinjauan adalah peringatan tentang piawaian tinggi yang dipegang oleh akauntan bertauliah.”
Dalam laporan BT sebelum ini, bilangan anggota Isca telah melepasi 40,000 orang, didorong sebahagian besarnya oleh lonjakan pendaftaran pelajar dalam bidang perakaunan.
Badan tersebut menjangka dapat mencapai 43,600 anggota menjelang akhir 2025, meningkat 11 peratus dari 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg